Suami isteri perlu bersedia terima kelemahan pasangan

Tinggalkan komen

Mac 23, 2007 oleh aliman


Petikan Berita Harian, Citra Mac 2007

Suami isteri perlu bersedia terima kelemahan pasangan
Oleh Nur Rashidah Maarof

20cit7b.jpg


Meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap perkahwinan boleh beri kesan mendalam kepada wanita berbanding lelakiSEJAK kebelakangan ini, seakan satu tulah apabila usia perkahwinan yang belum boleh dikira matang, terputus akibat konflik melanda rumah tangga. Hakikatnya, tiada siapapun yang boleh menghalang atau melawan takdir apabila rumah tangga dibina dilanda masalah.

Harapan setinggi gunung yang diletakkan pada awal usia perkahwinan kadangkala memakan diri sehingga membuatkan ada pasangan yang sanggup melakukan tindakan kurang bijak kerana tidak boleh menahan lagi dugaan diterima.

Sering kali perpisahan dijadikan sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah sedangkan realitinya, kehidupan selepas bercerai adalah lebih mencabar dan penuh liku apabila isu seperti hak penjagaan anak, selain stigma yang sering dihadapi wanita apabila menyandang gelaran janda.

Sehubungan itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdul Nasir Ahmad, berkata wanita khususnya tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi dalam rumah tangga kerana jika berlaku konflik yang tidak diundang, kesan terhadap wanita lebih dahsyat berbanding lelaki.

“Lazimnya, jika berlaku masalah rumah tangga, lelaki tidak cepat emosi. Mereka lebih tenang dan tidak terlalu memikirkan sangat masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, itu bukan menunjukkan yang mereka tidak mengambil berat, cuma cara mereka itu yang membuatkan pasangannya salah sangka.

“Bagi mengelakkannya, cuba berikan 80 atau 90 peratus saja tumpuan dalam rumah tangga. Bukan bermakna isteri perlu mencurigai kesetiaan suami, tetapi elakkan daripada terlalu memikirkan sangat apa yang sedang dilakukan suami, dengan siapa dia sedang makan dan sebagainya untuk mengelakkan daripada berprasangka buruk kerana ini akan menjejaskan hubungan dengan pasangan seterusnya mengelakkan kita daripada hidup dalam curiga sepanjang masa,” katanya ketika ditemui pada kursus bersiri Pembangunan Keluarga ‘Memartabatkan Alam Perkahwinan’ anjuran Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, ketika berhadapan dengan konflik, pasangan biasanya cepat melatah terutama mereka yang baru menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Masalah kecil kadangkala boleh menjadi serius disebabkan sikap yang tidak matang dalam menangani masalah.

Sedangkan setiap insan itu tahu sebaik saja keputusan untuk mendirikan rumah tangga diambil, bererti pasangan itu sudah bersedia untuk sama-sama mencapai matlamat perkahwinan iaitu untuk hidup bahagia bersama pasangan, berkasih sayang dan memberi belas kasihan.

“Tiada pasangan yang tidak dilanda masalah dalam hubungan mereka. Ini jelas menunjukkan, manusia itu tidak sempurna. Sering saja melakukan kesilapan tetapi ada kalanya lebih mudah untuk memaafkan. Apabila suami melakukan sesuatu yang tidak disukai isteri, kesilapan si suami pasti dengan mudah dimaafkan oleh isteri kerana memang sifat semula jadi wanita cepat dan mudah memaafkan apatah lagi memaafkan suami tercinta.

“Tapi dalam sesetengah kes, ada juga kesilapan suami yang sukar dimaafkan terutama membabitkan kecurangan. Maka akan berlakulah pertelingkahan dan menyebabkan suami isteri bermasam muka tidak bertegur sapa sehingga berhari-hari dan boleh juga mencecah berminggu-minggu lamanya,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Nasir berkata, konflik seperti itu boleh diselesaikan walaupun memerlukan masa yang lama terutama jika kena gaya dan ada tolak ansur antara kedua belah pihak.

“Bagi wanita yang mengalami nasib seperti itu, jika dia memberikan sepenuh hatinya kepada rumah tangga dibina dan mengharap untuk sentiasa mengecapi kebahagiaan bersama suami, pasti akan merosakkan diri.

“Tetapi jika dia memberi dan meninggalkan sedikit ruang kepada dirinya sendiri untuk bersedia menghadapi sesuatu yang tidak diduga, mungkin impak yang akan dialaminya tidak berapa terkesan,” katanya.

Di samping itu, konflik boleh timbul jika kehendak atau cita-cita suami dan isteri berbeza. Perlu diingat, setiap orang mempunyai cara atau pendapat tersendiri. Untuk mencari kesempurnaan itu, tentunya menjadi kesukaran kerana pasangan suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain harus bijak tatkala berhadapan dengan situasi yang mana pasangan mula menyuarakan pendapat atau pandangan yang kurang disukai.

Pendekatan psikologi seperti suami memujuk dengan mengucapkan kata pujian, membelai dan melakukan sentuhan fizikal yang mampu menenangkan hati ketika isteri merajuk atau marah, boleh menimbulkan rasa hormat antara pasangan kerana tanpa menggunakan kekasaran atau ayat pedas ketika menegur, pasangan boleh memaafkan antara satu sama lain dengan mudah jika segala masalah ditangani secara berhemah.

“Suami isteri perlu menerima pasangan masing-masing seadanya, jangan suka membandingkan kemampuan pasangan dengan orang lain kerana rezeki seseorang berbeza. Jika suami tidak mampu memberikan kesenangan yang diidamkan, maka isteri tidak boleh menarik muka hanya kerana permintaannya tidak dipenuhi.

“Pasangan suami isteri perlu saling melengkapi kerana manusia tidak sempurna. Di sebalik kekurangan itulah, kita perlu menerima dan cuba mengatasi segala kelemahan dan kekurangan pasangan kerana konflik atau pergaduhan dalam hubungan adalah asam garam yang perlu dinikmati bersama sebaik bersetuju untuk sehidup semati,” katanya.

Beliau berkata, kurangnya pegangan agama antara punca berlaku perselisihan faham kerana apabila hati, percakapan mahupun perbuatan disertai dengan niat kurang baik terhadap pasangan, maka akan berlakulah situasi tegang antara suami isteri.

Lazimnya, antara masalah yang dihadapi pasangan suami isteri sehingga menimbulkan konflik membabitkan kewangan, isu kesihatan dan seksual, kejujuran, kepercayaan dan kegagalan pasangan mengimbangi antara kerjaya dan keluarga turut memberi kesan kepada rumah tangga,

Malah, gangguan daripada faktor luaran yang negatif dalam bentuk fikiran seperti terpengaruh dengan kata orang mengenai pasangan kita, mengamalkan akhlak buruk (mazmumah) dan berlainan budaya juga boleh menimbulkan masalah.

“Analoginya, perkahwinan atau rumah tangga ibarat membeli kereta. Bila rosak, kita akan baiki dan terus baiki menunjukkan diri kita tidak sempurna seperti kereta. Kita tidak akan tukar kereta baru dengan mudah, tetapi akan terus membaikinya samalah dalam perkahwinan. Petua rumah tangga amatlah mudah iaitu jangan buat perkara yang tidak disukai pasangan,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 322,561 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: