Buku seringgit jadi seratus ringgit
Ikuti catatan di bawah.
Sayang sekali, pemasaran siri terjemahan Tafsir Ibn Kathir ini tidak begitu diketahui ramai. Adakah ia menjadi siri karya agung yang mati dan tidak sampai kepada pecintanya. Boleh jadi DBP dan DAWAMA ada jawapan.
Saya benar-benar hilang akal kerana mahu memilikinya. Terjemahan ke dalam bahasa Melayu oleh DBP tidak diragui kualitinya. Cuma siri tafsir ini tidak cantik seperti dahulu, kulit buku sudah terkoyak sedikit dan halaman demi halaman sudah lusuh. Tetapi isinya masih segar.
Penjualnya ramah sekali. Bercerita mengenai pengalaman syarikat mereka yang beroperasi di Johor. Mereka bertanggungjawab mengedar dan menjual buku-buku ke sekolah dan perpustakaan.
Dalam bercerita, ada satu cerita berbaur tidak puas hati.
“Mari saya tunjukkan,” katanya.
Beliau mengambil set buku untuk kanak-kanak di bahagian rak bawah sekali. Diberikan kepada saya.
Gambaran fizikal buku itu tidak ubah seperti buku mewarna dan bacaan kanak-kanak berharga kurang lima ringgit di kedai buku Mamak. Seratus peratus isi dan wajahnya begitu. Ada sepuluh judul dalam set yang dibungkus dengan plastik murah.
Tertera harga set buku kanak-kanak itu, RM138.00
Pekedai geleng kepala. Setiap satu berharga lebih RM20.00, beliau meletakkan di rak bawah sekali, malu mahu menjualnya. Diletakkan di situ kerana penjualnya membawa ke Pesta Buku dan beria-ia mahu ia dipamerkan.
“Setiap tahun mereka akan tukar kulit dan jual semula pada sekolah,” katanya lagi.
Nasib sekolah dan perpustakaan mendapat buku cap ayam bagi membina intelek anak-anak.
Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.



