Teruskan membaca entri di bawah
——-
Nota usrah trainer (1)
“Apakah itu ilmu fonetik,” bertanya Puan Guru kepada kami.
Fonetik adalah sains sebutan bahasa. Kualiti sebutan memberi kesan kepada kuasa pengaruh kita.
Video pertama dimainkan. Rakaman di YouTube menunjukkan seorang tokoh memberi ucapan di khayalak secara spontan. Kelebihan dan kekurangan berdasarkan pemerhatian kasar dilakukan. Satu persatu disenaraikan.
Daripada bedah siasat video, tokoh itu berhadapan kesukaran mempengaruhi khayalak. Terdapat tanda-tanda ucapan beliau tidak dapat mempengaruhi khayalak.
- Sebutan bercampur-campur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
- Penggunaan bahasa Melayu rendah.
- Tidak jelas kerana kecepatan
“Cuba dengar sekali lagi,” kata Puan Guru.
Kali ini lebih banyak tanda-tanda dikenalpasti ucapan itu tidak berpengaruh.
- Latar suara orang ramai yang bercakap dalam nada yang tinggi dapat didengar.
- Bahasa badan orang ramai jelas tidak bersedia mendengar ucapan itu.
- Pengucap menggunakan intonasi tinggi berkali-kali untuk mendapat perhatian ramai.
- Respon tepukan tangan tidak menunjukkan sambutan hangat meskipun sudah ada kumpulan yang dibawa bagi mencipta situasi itu.
“Kini saudara berdua yakin pentingnya ilmu fonetik bagi menjadikan pembentangan saudara berpengaruh?”
Kami angguk.
Sambung Puan Guru, “Baiklah, kita masuk ke fasa kedua. Analisa kelebihan dan kelemahan fonetik tokoh kedua ini,” arah beliau.
Video kedua dimainkan. Obama memberi ucapan di sebuah dewan kecil ketika kempen pilihanraya beliau. Analisa mendapati ucapan beliau dapat memenuhi asas penyampaian yang berpengaruh.
Orang faham apa yang disampaikan oleh Obama. Berbanding video pertama, ucapan yang disampaikan tidak difahami pendengar kerana isu yang disampaikan tidak diketahui ramai.
Kefahaman pendengar menentukan daya pengaruh penyampai. Semakin difahami maka semakin berpengaruh. Ini kerana otak tidak terbeban bagi menjalankan proses maklumat.
Tuan Shamsuddin Kadir bertanya, “Bagaimana pula Sukarno, adakah beliau menguasai ilmu fonetik?”
“Baiklah kita mainkan video Sukarno di YouTube,” kata Puan Guru.
Sekali lagi, tanda-tanda yang ada pada Obama kelihatan pada Sukarno.
“Tidak perlu bercakap banyak apabila orang sudah faham. Kelajuan pengucapan dan pemprosesan maklumat pendengar sama laju. Pendengar tidak perlu membuat kerja tambahan seperti membaca bibir bagi mendapatkan apa yang ingin disampaikan pengucap,” jelas Puan Guru.
“Baiklah, saya akan terangkan apa itu ilmu fonetik selepas beberapa analisa tadi,”
Teori fonetik merujuk pada sains sebutan bahasa atau lebih mudah disebut tajwid bahasa Melayu.
- Teori pertama menyatakan kualiti sebutan penting bagi menjamin kefahaman pendengar.
- Teori kedua menyatakan sebutan pengucap juga ada kaitan dengan karisma yang mengukuhkan pengaruh itu.
Mutu fonetik mesti dipertingkatkan agar orang faham dan terpengaruh. Bahasa adalah sumber karisma.
“Baiklah, kita berlatih lagi. Saudara berdua perlu sediakan ucapan tiga minit mengenai rakan masing-masing. Berdiri di hujung sana dan bentangkan kepada semua. Sekarang kita adakan latihan mengukur sejauh mana orang dapat mendengar bunyi yang disebutkan,” kata Puan Guru.
Selesai latihan, kami melaporkan.
Bertanya Puan Guru, “Apa yang saudara berdua lakukan tadi?”
Masing-masing menilai prestasi ucapan tadi dari segi fonetik. Masing-masing melakukan tiga perkara ini setiap kali diajukan soalan oleh Puan Guru.
- Melaporkan emosi.
- Memikirkan prestasi.
- Memikirkan jalan fikir sendiri.
Hasil dapatan diulang berkali-kali sepanjang sesi soal jawab tiga proses ini berlaku.
Daripada latihan penyampaian tadi, difahami bahawa ilmu fonetik membantu perkara berikut.
- Berhati-hati dengan apa yang mahu disampaikan.
- Memberi tempoh memilih perkataan yang sesuai.
- Setiap perkataan yang dipilih mempunyai maksud agar pendengar faham.
- Fonetik memberi ruang berfikir ketika berucap. Tidak ada situasi peluru tabur iaitu menggunakan apa sahaja perkataan yang timbul dalam kepala.
- Tidak ada pembaziran perkataan dan lebih berpengaruh.
- Fonetik menampilkan wajah pengucap sebagai orang berpengetahuan tinggi.
- Fonetik memberi masa kita menyusun idea ketika sedang berucap.
- Kita lebih bertanggungjawab menyampaikan.
- Orang yang mendengar terpengaruh dan mengambil risiko lebih besar.
“Saudara berdua ingat video Obama tadi. Penguasaan ilmu fonetik menjadikan orang terpengaruh. Meskipun beliau adalah seorang yang berkulit gelap dan hanya seorang senator satu penggal tetapi orang ramai masih sedia mengambil risiko memilihnya,” jelas Puan Guru.
Baiklah bagaimana mahu meningkatkan mutu penyampaian menggunakan ilmu fonetik?
Sukukata dalam ilmu fonetik Melayu terbahagi kepada dua.
- Sukukata terbuka seperti sa, ya, ma. Hujungnya adalah huruf vokal a, e, i,o dan u.
- Sukukata tertutup seperti ib, ik, ir. Hujungnya adalah huruf konsonan.
Pesan Puan Guru, “Jaga sukukata tertutup yang menjadi punca orang penat mendengarnya apabila tidak jelas disebut.”
Kemudian, ada tiga jenis bunyi dalam penyampaian.
- Bunyi yang merdu didengar iaitu bunyi sengau yang memberi muzik kepada perkataan yang digunakan. Melodi ada pada sambungan huruf n, m, ng. Misalnnya cinta, minta, berjuang.
- Bunyi geseran bagi mencipta kesan dramatik. Ada pada sambungan perkataan yang mengandungi c, s, kh, gh. Misalnya khianat, sayang, ghairah.
Penguasaan ilmu fonetik kepada trainer penting selain daripada menguasai teori yang mahu disampaikan kepada peserta. Apabila ilmu fonetik dikuasai dan dilatih akan membawa kesan berikut.
- Fonetik secara langsung menjadikan kita melantunkan perkataan secara jelas dan kuat.
- Fonetik secara langsung menyekat kita daripada membuat humor yan tidak perlu dan pada masa yang salah.
- Fonetik menjadikan kita menyemak susunan penyampaian dari masa ke semasa.
- Fonetik digunakan pada peringkat awal ketika mana peserta tidak percaya pada kredibiliti kita.
Latihan terakhir adalah mendengar lagu Anita Sarawak. Lodeh Mak Lodeh
Kali ini barulah difahami mengapa penguasaan ilmu fonetik memanjangkan hayat karier Anita Sarawak dan Sharifah Aini sehingga kini. Hal yang sama kepada apa jua bentuk profession.
Hari ini baru saya dan Tuan Shamsuddin Kadir tahu bahawa perkara ini diperolehi dalam kelas drama. Puan Guru pernah mengikuti kelas drama rupa-rupanya!
Catatan tambahan.
Perbezaan trainer professional dan amatur adalah kemampuan menguasai teori dan menyampaikan teori secara jelas, tidak berceramah dan memberi pendapat (bukan fakta).
——-
Teruskan membaca entri di bawah
——-
- Kini bersama Tuan Fedtri Yahya TV3, Tuan Nazri PTS, Puan Alina Oxygen Media.
- Tuan Fedtri membaca sebagaimana hidangan pelbagai. Sedikit punya rasa berbeda.
- Pecinta karya alam, agama dan seni sedang berpencak.
- Orang muda membaca. Soalnya apa jenisnya. Kini ada cenderung bahan berilmiah.
- Bahan buku suplemen untuk karya asas di sekolah tidak ada. Habis di sekolah, buku popular berdasarkan subjek tidak diketemui.
- Membaca atas beberapa tujuan. Maklumat, pemahaman, mendekati, hiburan.
- Gejala membaca buku hanya timbul dalam kategori buku mudarat.
- Evolusi ringan ke berat dalam penguasaan bahan bacaan.
- Komik bermutu asas kepada pembacaan berkualiti.
- Bahasa dan isi akhbar beri kesan negatif pada pembangunan minda kanak kanak. Ibu bapa resah mahu membeli bawa ke rumah.
- Komik luar negara terpakai dijual pada harga tinggi di sana.
- Dulu ada keropok dijual dan ada komik di dalam bungkusan keropok.
- Rakyat Jepun melalui program dan pendedahan motivasi selama 2800 jam sebelum masuk ke universiti.
- Seks, politik dan agama cerita orang awam. Ilmu dan nafsu dua perkara yang dimakan tidak puas.
- Orang tua sekarang menyalahkan orang muda tidak membaca bahan bermutu sedangkan dulu novel porno bahasa tempatan dijual terbuka.
- Dahulu orang sastera adalah orang kanan golongan elit.
- Jadikan orang sebagai buku. Jika tidak mampu beli buku.
- Hiburan termurah adalah membaca.
- Budaya visual bertentangan budaya buku.
- Tidak satu ebook berjaya menandingi jualan buku fizikal sehingga kini.
- Budaya visual web, televisyen tidak dapat tandingi kelahiran buku. Quran sebagai medium membaca masih kekal

Nota: Cik Puan Nor Azlin ini membeli buku untuk dihadiahkan kepada rakan. Buku Berbunga Cinta Aisyah di Hati Rasulullah jadi pilihan bertukar tangan. Berkenaan buku ini, ia akan masuk ke kedai-kedai buku dalam tempoh dua minggu lagi. Pesanan awal boleh dibuat di kaunter kedai buku MPH dan Popular hari ini.
——-
Teruskan membaca entri di bawah
——-
- Buku pendidikan ada dua. Pertama, buku silibus dan buku pengayaan.
- Tulis apa orang mahu tahu. Apa yang kita mahu. Asas 5WH perlu dijawab sebelum menulis.
- Percubaan pakej buku menentukan penerimaan pelanggan.
- Ramai keliru buku rujukan dan buku motivasi.
- Buku motivasi belajar dianggap pengayaan.
- Buku sekolah tidak mesra pelajar.
- Setiap orang ada indeks kabus kebolehanbacaan berbeza.
- Teks dan visual menentukan kualiti bacaan lelaki dan perempuan.
- Buku pendidikan gagal dijual kerana medium pemasaran tidak difahami penerbit.
- Buku pendidikan mesra kontrak kerajaan.
- Buku pendidikan merangkumi penulisan ilmu, aplikasi ilmu dan pelengkap ilmu.
- Apabila menulis bayangkan pembacanya.
- Cerita, contoh, ilustrasi mengukuhkan fahaman dan keseronokan pelajar. Bezakan perkataan, “ada kajian” dan “ada cerita”.
- Buku pendidikan gagal kerana teori di dalamnya tidak ada hubungan dengan hidup. Ia tidak dijelaskan oleh penulisnya.
- Banyak guru diberi tugas pendidikan luar kelas tanpa buku yang membantu. Contoh mengurus kelab sekolah.
- Banyak buku tidak menjawab ‘bagaimana’
- Guru apabila program teknik mengajar dari pihak luar di bawa ke sekolah, mereka tidak belajar hanya mengharapkan murid belajar.
- Banyak buku motivasi belajar mengulang benda yang sama.
- Penerbit bukan pengarang. Isu telur dan ayam timbul.
- Sempurnakan buku yang tidak lengkap bukan hanya kritik. Tulis buku itu dan diterbitkan.
- 500 orang melihat kemalangan yang sama bawa 500 cerita sudut berbeza. Begitulah ramai penulis dalam subjek yang sama.
- Elak daripada merungut terhadap buku. Ia akan menutup perspektif pembaca. Baca buku yang sama lima kali bawa lima kefahaman berbeza.
- Jika kita dan ramai orang mencari, maka tulislah buku itu.
- Pengarang perlu letakkan diri sebagai agen perubahan.
- Buku belajar ‘last minute’ terbitan PTS menimbulkan persoalan ibu bapa jika anak berbuat begitu. Tetapi itulah soalan popular.
Buku tulisan Zamri Mohamad diterbitkan di bawah anak syarikat PTS iaitu PTS Millenia,PTS Professional, PTS One. Antara anak syarikat lain di bawah PTS ialah PTS Islamika,PTS Fortuna dan PTS Litera Turut boleh didapati di rangkaian kedai buku MPH, MPH Online, Popular Bookstores,Bookcafe dan E-kedai.net
——-
Lebih daripada satu entri akan menceritakan hari-hari yang berbeza di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Berbeza tahun-tahun lalu, cerita kali ini menjadi satu cerita rangkuman.
Memilih apa yang menarik dan menonjolkan apa yang saya kira sebagai sesuatu yang dapat memberi nilai tambah kepada pembaca blog yang dimuliakan.
Sepuluh hari di Pesta Buku membawa cerita yang pelbagai warna kepada semua. Tiga hari pertama tidak dapat saya hadiri sebagaimana tahun-tahun lalu kerana bersama-sama 27 peserta di hotel Vistana bagi mengendalikan bengkel penulisan berita dan rencana. Sekadar melihat PWTC dari tingkap hotel sahaja.
Tahun ini merupakan tahun yang menarik melihat kepada perkhidmatan pelanggan yang diberikan oleh penerbit, PTS Publication and Distributor kepada para pengunjung.
Meja yang terbuka dengan pelbagai judul memudahkan para pengunjung memilih tanpa dihalang rak-rak buku yang mungkin memisahkan mereka. Selepas satu buku, satu buku dipilih. Begitulah seterusnya.
Apa yang berlaku di Pesta Buku?
Hari kelima
Malam sebelum hari itu saya menerima panggilan daripada penerbit bagi mengisi slot Riang Ria PTS Professional. Bersama-sama saya adalah Tuan Aizuddinur Zakaria, penulis Jejak Bisnes Rasul. Riang Ria PTS sudah menjadi program khusus yang dibangunkan dalam bentuk aktiviti tersendiri yang jelas berkesan sejak pertama kali diadakan di SACC Mall, Shah Alam ketika karnival Mutiara Minda MPH tahun lalu.
Hari keenam
Merupakan hari saya memperkenalkan buku Berbunga Cinta Aisyah di Hati Rasulullah. Terima kasih kepada para pembaca yang sudi memberikan masa selama satu jam mendengar bicara penulis bersama Tuan Imran Yusuf.
Dalam sesi bicara buku ini, pelbagai soalan dikemukakan pengunjung. Saya berkongsi dapatan daripada responden dan pandangan pakar manakala Tuan Imran menjelajah setiap ruang persoalan melalui pengalaman beliau. Saling lengkap melengkapi.

Saya tertarik dengan kata-kata Tuan Imran Yusuf, “Para isteri membunuh suami mereka secara sistematik dengan makanan yang sedap setiap hari.”
Kata-kata ini disambut dengan gelak ketawa pengunjung.
“Mengapa saya berkata begitu. Setiap hari dihidangkan makanan yang enak, si suami pula makin enak makan, makin enak duduk membaca akhbar dan makin enak menonton televisyen. Maka penyakit pun timbul.”
Pengunjung masih terus ketawa mengingati perkataan sistematik yang disebut Tuan Imran Yusuf.
Pada pagi itu berkesempatan mengikuti pembentangan Tuan Erik Hartmann mengenai Google Book Search.

Pada hari ini saya bertemu rakan lama yang sudah tidak mendengar khabar sejak lima tahun lalu. Saudara Adi, seorang jurugrafik yang pernah bekerja bersama di Ansar Channel, MiTV pada tahun 2005. Kami menghabiskan masa bersama dan bercerita tentang hari ini dan hari esok.
Hari ketujuh
Hari saya memperkenalkan buku Urus Bisnes dengan Google. Pada hari yang sama, Tuan Erik Hartman dari Google Strategic Partner berada dalam dewan yang berbeza di PWTC bercerita mengenai Google Books. Satu sesi dalam bahasa Inggeris dan sesi di PTS dalam bahasa Melayu.

Gelagat pengunjung berbeza daripada semalam. Mereka sudi mendengar selama sejam. Tetapi kekal di tempat mereka berdiri.

Saya gembira dengan kehadiran seorang pelajar sekolah dari luar Kuala Lumpur. Beliau tekun mencatat dan mendengar. Selepas sesi barulah saya tahu apa yang difikirkan beliau. Ada sesuatu yang dirancangnya. Beliau dalam proses menjalankan bisnes kasut bundle terpakai bersama para pelajar lain.

Hari ini saya bertemu dengan sahabat yang pernah membawa saya ke hospital akibat kemalangan. Sahabat yang mengajar saya berniaga di jalanan ketika mencari ruang survival menyambung pengajian. Sahabat yang mengangkat jenazah ayah ke kuburan. Beliau memilih buku bersama tunangnya. Sahabat yang sudah terjalin persefahaman dan menjadi mentor saya sejak tahun 1995.
Hari kelapan
Bertemu dengan Puan Aina Emir, sejam sebelum dialog buku pendidikan yang dianjurkan PTS Professional. Semalam saya hanya sempat melambai sebelum bicara buku Urus Bisnes dengan Google bermula.
Bertamu di Karna Dya selama sejam. Puan Aina Emir kini punya menantu dari Russia yang sama-sama turut membantu menjual karya.Setiap tahun saya akan mengambil peluang bertemu beliau sejak tahun 2006. Pada waktu menjual buku dengan menyewa sebahagian ruang jualan milik orang lain, kemudian membuka booth jualan sendiri sehinggalah kini mempunyai senarai judul yang diterbitkan di bawah jenama ini. Perkembangan dari tahun ke tahun yang saya saksikan.
Karya beliau, Kau Laksana Bulan dijadikan siri drama dan novel itu telah diulangcetak sebanyak lima belas kali sejak ia diterbitkan dua tahun lalu.
Penerbit ini mendahulu angan-angan saya dengan menjadikan ia benar. Buku Tiru Macam Kami diterbitkan di bawah siri Inspirasi Karnya Dya saya beli.
Buku ini ditulis oleh dua orang penulis tempatan yang cacat penglihatan iaitu Dr Wong Huey Siew dan Tuan Mohd Nor. Mereka menjadikan kisah mereka sebagai satu catatan motivasi. Melihat tanpa mata itu bisa jika hidup mahu perubahan. Tahniah atas keberanian ini. Dibeli di pesta buku pada harga RM12.00. KarnaDya juga menterjemah karya Sheikh Imran Hosein ke dalam bahasa Melayu.
Pada masa sama, pelawaan beliau di booth KarnaDya betul-betul mengejutkan saya. Tunggu dahulu saya fikirkan. Itu adalah pelawaan yang menjadikan saya mengingati edisi pesta buku kali ini. Di hadapan wartawan pula disuarakan hal itu. Jangan ditulis ya!
Hari yang sama saya mengikuti Dialog Orang Muda edisi khas yang membincangkan isu orang muda tidak membaca.
Hari kesembilan
Seminar Law of Attraction menarik sebahagian daripada pengunjung pesta buku. Hadir bagi melihat seni pembentangan selama dua jam sebagai cara mendapatkan idea dan skrip bagi pembaikan pembentangan saya sendiri.

Bertemu dengan Tuan Qua Chee, rakan sekolah sejak tahun 1995. Beliau kini bekerjasama dengan Andrew menjadi pengedar buku. Sebelum ini beliau pernah menerbitkan buku sendiri iaitu Batik Inspiration dan 50+1 Malaysia.
Pada hari ini, Baca@Komuter dilancarkan dari Seremban ke stesyen komuter Putra. Disertai bersama tim Kembara Buku RTM dan penulis novel sejarah, Tuan Abdul Latip.
Hari kesepuluh
Lebih bersifat santai. Tidak begitu sesak berbanding semalam. Penghadang di jambatan yang menghubungkan dewan utama dan di seberang sungai dialihkan. Pada hari Jumaat lalu, angin kuat dan hujan lebat mengakibatkan penghadang itu beralih dari kedudukan asal. Sehinggakan jambatan itu ditutup atas faktor keselamatan.

Malam itu rakan saya mentag saya di Facebook dengan memperkenalkan bot pisangnya sebagai alternatif banjir di PWTC yang meresahkan penerbit buku. Bimbang buku di bawah meja rosak akibat banjir, semua diletakkan atas meja sebagai ikhtiar.
Hari kesepuluh saya berbincang dengan Tuan Iskandar Syah, idea-idea gila bagi menyokong usaha beliau menggerakkan perpustakaan rumah anak yatim.
Masih ada lagi beberapa catatan berdasarkan acara akan saya kongsikan dalam entri seterusnya.
——-












