Tip Temuduga Muslimah Moden

Tinggalkan komen

Jun 27, 2007 oleh zamrimohamad


Akan datang, Tip Temuduga Muslimah Moden terbitan PTS Millennia

Membina karier dan meningkatkan potensi kerja yang sedia ada bukan kerja seorang diri. Proses ini memerlukan kuasa rangkaian. Selalu ia disebut dengan istilah kabel, orang dalam dan kenalan. Kita memerlukan rangkaian untuk memenuhi cita-cita dan impian peribadi. Rangkaian membantu mempercepatkan proses mendapatkan pekerjaan dan mengurangkan kos peribadi dalam usaha mendapatkan jawatan yang diingini.

Rangkaian peribadi membantu kita memperolehi pekerjaan melalui pandu arah yang dibentuk dalam rangkaian itu sendiri. Pandu arah yang terbentuk dalam kumpulan rangkaian membawa kita kepada sasaran yang betul untuk membina kerjaya. Ia membantu mengurangkan kesilapan.

Memilih rangkaian sahabat dan kenalan yang betul memberi pandu arah untuk kita memfokuskan jenis karier yang kita inginkan. Potensi pekerja muda lebih terbuka dalam memilih jenis kerjanya. Namun begitu, skop yang luas ini perlu dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil bagi memudahkan kita memilih bentuk kerjaya yang diinginkan.

Sikap suka bertanya dengan kenalan yang sedia ada membantu kita mendapatkan maklumat-maklumat kerjaya baru. Boleh jadi kerjaya itu sesuai dengan kita dan peluang untuk mencubanya lebih cerah. Bertanya merupakan tindakan untuk mendapatkan maklumat. Maklumat yang diperoleh pula merupakan input untuk kita mengatur cara mencari kerja dan meningkatkan potensi kerja yang sedia ada.

Kita bebas memilih siapa yang perlu ditanya. Bertanya boleh dibuat dalam dua keadaan. Pertama, bertanya dengan individu yang sedia ada dalam industri. Kedua, bertanya dengan mereka yang berada di luar industri.

Sebagai perbandingan konsep, bayangkan kita mencari ahli keluarga yang sudah lama tidak kita bertemu. Pencarian akan bermula dengan bertanya kepada ahli keluarga terdekat dan kemudian dengan jiran dan sahabat handai.

Samalah juga dalam mencari pekerjaan , pekerja itu sendiri adalah ahli keluarga dalam indusri dan orang sekeliling yang tahu tentang kewujudan pekerjaan itu secara langsung adalah sahabat handai dan jiran kepada kerjaya tersebut. Satu persamaan dalam perbandingan ini, bertanya itu adalah proses kita untuk mencipta peluang.

Pilihlah siapa yang sesuai untuk kita tanya untuk mencari ruang pekerjaan dan peningkatan karier yang sesuai. Pertama, mereka yang mengenali kita dan mempunyai hubungan baik dengan kita adalah kelompok pertama untuk kita ajukan soalan dalam proses mencari. Mereka yang mempunyai hubungan baik dengan kita tidak lokek dalam menyampaikan maklumat yang mereka ketahui.

Kedua, bertanyalah kepada mereka yang lebih berusia dan senior dalam kerjaya itu. Umur mereka yang jauh lebih tua dan penglibatan mereka dalam kerjaya itu atau kaitan tidak langsung mereka dalam pekerjaan itu memberi bayangan keluasan rangkaian yang dimilikinya.

Kita juga boleh memilih seseorang untuk menjadi mentor dalam kerjaya. Individu yang banyak pengalaman dan sudah tahu asam garam sebagai pekerja merupakan individu yang berpotensi untuk menjadi mentor.

Tidaklah perlu mengisytiharkan dirinya mentor. Cukuplah dengan kerap berjumpa dan meminta bimbingan, perasaan bahawa dirinya berperanan membantu kita dalam membina kerjaya akan menyerap ke hatinya.

Banyak perkara yang dikongsi oleh seorang mentor kerjaya berdasarkan apa yang berlaku dan berdasarkan realiti. Pandangan berdasarkan buku adalah sumber sekunder, tetapi inidividu seperti ini menjadikan pengalaman diri dalam kerja yang diceburinya dahulu sebagai bahan primer.

Boleh jadi mentor kita jauh lebih muda tetapi pengalaman dalam pekerjaan itu menjadikan dirinya sebagai sumber rujukan. Rasa malu tidak akan membantu untuk mendapat maklumat yang.

Seorang anak muda berumur 25 tahun pernah menjadi mentor kepada Jack Welch. Individu bernama Jack Welch ini bukan calang-calang orang. Beliau adalah bekas pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi sebuah organisasi antarabangsa, General Elektric. Lebih menarik, Jack Welch memahami kuasa mentor dan beliau memilih 20 orang lagi menjadi mentor kepada pegawai eksekutifnya.

Manfaatkan rangkaian yang sedia ada. Kajian mendapati, rangkaian sumber yang sentiasa digunakan ialah mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli keluarga. Ayah mungkin mempunyai kenalan di jabatan tertentu dan melaluinya, maklumat kekosongan jawatan diberitahu. Ibu mungkin mempunyai rangkaian terdiri daripada rakan-rakan sekerja dahulu sebelum dia meletak jawatan. Kakak dan abang mungkin mempunyai sahabat karib yang berada dalam sektor kerja yang kita minati.

Kuasa internet adalah kuasa penghubung ke rangkaian lebih luas. Mereka yang berkarier turut menjadikan internet sebagai ruang sosial. Bermula dengan menjadi sahabat maya, ia bertukar kepada peluang kerjaya.

Penulis mendapati laman-laman web berorientasikan rangkaian sosial juga menawarkan pekerjaaan melalui internet. Ini melalui hebahan dalam laman web oleh individu dalam rangkaian tersebut. Pengendali rangkaian sosial di internet juga menyediakan ruang pencarian kerja dalam satu laman khas untuk membantu rakan komuniti terbabit.

Carilah masa untuk membina rangkaian peribadi. Ia merupakan pelaburan yang murah tetapi memberi kenaikan dari sudut kewangan, kedudukan untuk satu jangka masa panjang. Ia mungkin sesuatu yang meletihkan, tetapi membawa kita kepada keadaan yang lebih memuaskan. Boleh jadi individu yang kita kenal dalam rangkaian peribadi dapat menghidu potensi kita lebih jauh daripada apa yang kita tahu.

Kuasa forum dalam rangkaian sosial di internet memberi bayangkan corak pekerjaan dan jenis individu yang menyertai forum tersebut. Jika ia sebuah forum yang membincangkan perkembangan teknologi internet, maka kita tahu apakah jenis peserta forum yang turut serta dalam perbincangan.

Mereka mungkin berdiskusi tentang sesuatu isu berkaitan, tetapi pada masa sama mereka mempunyai potensi untuk mengetahui industri itu sendiri baik dari sudut pengenalan teknologi, isu perundangan atau pengenalan kepada kerjaya baru.

Sertai forum internet yang kita minat dan beri maklum balas dalam entri yang dibincangkan. Sikap aktif dalam sesebuah forum mengurangkan potensi halimunan, ia sebagai aktiviti terancang untuk menjadikan kita dikenali dan dihubungi apabila diperlukan.

Penglibatan dalam aktiviti gerak sosial memberi kita arah tuju untuk meningkatkan peluang membina kerjaya. Gerak kerja sosial bersifat sukarela merupakan tumpuan pelbagai individu dari pelbagai jenis profesion. Mereka mempunyai minat yang sama.

Sikap hendak menyumbang dan bekerja beramai-ramai menjadikan mereka menjadi satu kumpulan yang saling bergantung. Sikap ini menjadikan mereka mudah gembira untuk menyumbang kepada masyarakat dan rakan sekumpulan.

Melibatkan diri dengan media juga merupakan teknik membina rangkaian. Pilih pendekaan yang mesra melalui media. Media mempunyai ruang terbuka kepada orang ramai turut serta dalam memberi pandangan dan memberi maklum balas terhadap isu. Orang ramai memilih ruangan surat pembaca sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati, mengadu dan mendedahkan kelemahan satu pihak lain.

Membina rangkaian kerjaya dengan menggunakan media sebagai pengantara tidak memerlukan kita membayar. Ia percuma dan apa yang diperlukan ialah satu bentuk penulisan yang tidak sampai setengah halaman bersaiz A4. Tetapi kesan yang diberi dalam membina dan meingkatkan potensi kerjaya adalah tinggi.

Turut sama dengan para pembaca yang lain. Libatkan diri dengan rangkaian ini. Gunakan medium yang sama sebagai platfor menyampaikan idea. Berikan satu pandangan yang positif dengan saranan-saranan yang logik serta memenangkan kedua-dua pihak. Diri penulis seperti ini dilihat sebagai pendamai, boleh bekerja sama dan mempunyai idea. Ciri-ciri ini dicari oleh majikan bagi meningkatkan kemampuan organisasi.

22.jpg

ZAMRI MOHAMAD adalah penulis bebas di akhbar, majalah, buku dan internet. Beliau juga menggerakkan bengkel penulisan rencana di majalah dan akhbar untuk usahawan SOHO, usahanita dan pelajar. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 358,449 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: