Kisah Prof Dr Muhammad Yunus 1

Tinggalkan komen

Ogos 17, 2007 oleh zamrimohamad


Setengah jam lalu saya berkesempatan bertemu dan mendengar pengalaman pengasas bank untuk orang miskin atau bank mikro, Prof Dr Muhammad Yunus. Beliau juga penerima anugerah Nobel Keamanan 2006.

Siapakah Prof Dr Muhammad Yunus?

Beliau merupakan Muslim yang lahir di Chittagong, Bangladesh pada tahun 1940. Merupakan pensyarah di Universiti Chittagong, Muhammad Yunus membawa perubahan besar dalam peningkatan ekonomi masyarakat miskin. Beliau mengaplikasi pendekatan blue ocean bagi membasmi kemiskinan di negaranya.

Ada beberapa perkara menarik ingin saya kongsikan sepanjang ceramah beliau pada pagi ini.

Berbeza dengan Malaysia, Universiti Chittagong dikelilingi kampung dan terletak jauh dari bandar. Keadaan ini menjadikan beliau melihat bagaimana situasi kemiskinan dialami oleh penduduk sekitar. Ini memberi inspirasi kepada beliau membawa pendekatan tersendiri membantu penduduk miskin.

Bank poket

Beliau mendapati amalan bank di sana tidak memberi keuntungan kepada orang miskin. Sistem yang diperkenalkan menjadikan mereka tidak layak mendapat kemudahan tersebut. Maka beliau memperkenalkan bank poketnya sendiri. Pada tahun 1976, projek tersebut bermula dengan memberikan pinjaman sebanyak US$27.00 kepada 42 wanita miskin di perkampungan Jobra.

Bank poketnya memberi kesan besar dalam hidup Muhammad Yunus. Empat puluh dua wanita miskin ini bukan sahaja mampu membayar kembali wang pinjaman pada masa yang dijanjikan, malah mereka bebas daripada kemiskinan dengan pinjaman itu.

Ia membawa kepada pembukaan Grameen Bank pada tahun 1983 atau popular dipanggil bank untuk orang miskin. Sehingga kini Grameen Bank telah mengeluarkan pinjaman sebanyak US$6.0 bilion kepada 73,000 kampung di Bangladesh.

Kecilkan fokus

Muhammad Yunus dalam ceramahnya berkata “Kecilkan fokus kepada satu keadaan yang boleh diubah. Saya melihat negara terlalu besar, maka saya tumpukan kepada kampung. Tetapi saya melihat kampung juga terlalu besar fokusnya maka saya kecilkan kepada individu. Jika kita membantu individu ia akan mengubah keadaan yang lebih besar lagi.”

Wang yang membawa kebahagiaan

Jumlah wang yang sedikit, membawa kebahagiaan besar kepada si miskin. Mereka tidak memerlukan wang yang banyak untuk dipinjam. Inilah apa yang bank konvensional tidak dapat lakukan. Bank terikat kepada polisi dan undang-undang yang menyekat mereka daripada inovatif.

Amalan bank di Bangladesh

Kata Muhammad Yunus, “Ada dua perkara yang saya lihat dalam amalan bank di Bangladesh. Pertama, pendekatan bank memberi pinjaman kepada si kaya jelas satu kesalahan dan ketidak adilan. Kedua, kaum perempuan dinafikan hak meminjam.”

Prof Muhammad Yunus bersama-sama pelajarnya turun ke kampung dan memberi kesedaran kepada kaum perempuan berkenaan peningkatan taraf hidup melalui pengurusan wang.

“Sikap kaum perempuan yang pemalu dan tidak terbuka menjadikan halangan bagi saya menyampaikan mesej ini. Melalui pelajar-pelajar perempuan, mereka membantu saya berinteraksi. Saya berada di luar rumah, menunggu di bawah pokok. Semenatar itu, pelajar perempuan akan pergi memberikan penerangan. Dari bawah pokok ke luar rumah kami saling berinteraksi dengan pengantaraan,” cerita Prof Muhammad Yunus.

Takut wang

Kesedaran mengenai wang sangat rendah di kalangan kaum perempuan.

“Jangan beri wang kepada saya, berikan kepada suami saya. Dia tahu apa yang hendak dibuat.,” jelas perempuan yang ditemui.

Ketakutan itu timbul kerana kejahilan dan sikap tidak yakin yang dibudayakan dalam diri mereka.Ia sudah menjadi sikap yang diturunkan melalui generasi. Selama enam tahun, Prof Muhammad Yunus berjuang memberi kesedaran tersebut.

Wanita lebih efektif dalam menggandakan wang

Prof Muhammad Yunus mendapati kaum wanita lebih efektif dalam menggandakan wang yang diberi sebagai pinjaman. Keadaan ini berlaku kerana kaum perempuan membina dinding keselamatan dalam hidup mereka. Wang yang digandakan adalah jaminan untuk dirinya dan anak-anak jika berlaku apa-apa di luar jangkaan. Mereka sangat berhati-hati apabila menguruskan wang dipinjam.

Ubah keadaan berdasarkan prinsip asas

“Pinjaman kredit ini adalah alat. Kita mengubah keadaan berdasarkan prinsip asas. Setiap individu mempunyai nilai asas keusahawanan. Sayang sekali kelebihan ini tidak dikembangkan ke tahap maksima. Di dalam diri orang miskin ini ada kreativiti, inovasi, keinginan yang perlu diketengahkan,” jelas Prof Muhammad Yunus.

Bersambung.

Nota: Catatan ini adalah nota penulis ketika menghadiri ceramah umum Prof Dr Muhammad Yunus di UIAM pada 16 Ogos 2007

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 361,102 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: