Mat Som itu penulis sambilan dan diriku penulis bebas

Tinggalkan komen

Mac 18, 2008 oleh zamrimohamad


Malam ini saya menonton sedutan filem Mat Som dari YouTube. Ia mengingatkan saya kepada filem ini ketika menontonnya di kaca televisyen ketika masih bersekolah. Filem ini diadaptasi daripada karya asal, kartun Mat Som oleh Datuk Lat. Saya tidak dapat menghayati filem ini ketika zaman sekolah sehinggalah saya membaca komik Lat semula.

Kali ini komik dan filem Mat Som mengetuk saya kembali. Persis cerita sendiri. Mengingatkan saya kepada Kuala Lumpur ketika Central Market menjadi medan seni terbuka.

Filem ini mengingatkan saya kepada bas Len Seng dan bas mini yang pernah saya naiki. Pergi ke Wangsa Maju ketika pusat membeli belah Alpha Angle baru sahaja dibuka. Hanya rumah pangsa di kiri kanan dan hutan. Saya kembali selepas 17 tahun Alpha Angle dibuka dan memberi ceramah buku di sana,

Filem ini mengingatkan saya kepada bandar Chow Kit yang dipenuhi peniaga-peniaga Melayu dari jam 9 pagi sehingga jam 2 pagi setiap hari dari Keramat Supermarket sehinggalah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Hari ini kita tidak dapat melihat perkara yang sama lagi. Tidak berpeluang membeli radio kaset berharga RM50 dan kaset-kaset cetak rompak, termasuklah kaset Andy Lala dengan lagu jenaka rakyatnya.

Filem ini mengingatkan saya kepada siapa saya hari ini. Memberitahu saya dilema dan peluang yang dilalui sebagai penulis bebas. Mendedahkan saya kepada jenis cabaran dan persepsi sekeliling.

Filem ini mengingatkan saya kepada kayu panjang yang direntangkan di parit besar belakang SRK Jalan Raja Muda. Kayu panjang itu menjadi laluan alternatif ke rumah. Bila difikir, kalaulah saya jatuh mati lemas di situ, blog ini pun tidak akan terisi. Kayu itu tidak lebar, jika mahu berjalan, kenalah jalan secara mengiring, kayu itu mesti dipijak pada kedudukan yang betul, iaitu di tengah-tengah tapak kaki. Langkah selangkah demi selangkah sambil melihat air parit berwarna coklat di bawah yang mengalir deras.

Filem Mat Som mengingatkan saya kepada Kampung Baru kerana di situlah Mat Som tinggal. Kampung Baru tempat saya membeli nasi lemak jam 6.50 pagi, melalui jalan belakang yang sempit, berjalan di belakang rumah-rumah orang dan kembali semula ke sekolah dengan sebungkus nasi lemak berharga 50 sen.

Mat Som adalah penulis sambilan dan saya adalah penulis bebas. Bezanya Mat Som perlu menggadai jam tangga berharga lima belas ringgit sedangkan saya tidak perlu berbuat begitu.

Mat Som sudah lama mahu bercakap dengan Cik Yam. Si dia sudah lama mengikuti perkembangan Mat Som melalui penulisan-penulisan di akhbar. Mat Som tidak tahu Cik Yam sudah lama mahu menegurnya. Sama-sama mereka menonton program baca puisi. Sama-sama mereka pergi menonton konsert rock di tengah kota yang memuja Dayabumi sebagai mercu tanda.

Mat Som ketika itu umurnya 28 tahun.

Eh, itu sebaya umur saya.

Patutlah rakan saya beria-ia suruh saya membaca komik Mat Som hari ini.

Saya faham apakah mesej yang kamu mahu sampaikan wahai rakan.

Mat Som, kau mengingatkan 13 tahun hidupku di Kuala Lumpur dan ceritaku hari ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 360,203 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: