Penulisan berkualiti tinggi ejen pembinaan bangsa

Tinggalkan komen

Mei 31, 2008 oleh zamrimohamad


Penulisan berkualiti tinggi ejen pembinaan bangsa

Siaran Berita Harian, Jumaat 30 Mei 2008

BUKU berkualiti adalah satu bentuk persiapan minda kepada pembaca apabila input ilmu dalam bahasa yang teratur mempermudahkan proses pembinaan karakter melalui proses membaca.

Didapati, potensi individu berkembang apabila penguasaan ilmu dapat dilakukan lebih cepat kerana buku yang ditulis dan dibaca di rumah menjadi prapersediaan kepada bahan bacaan lebih kompleks. Daya penerimaan lebih cepat meningkat kerana struktur bahasa yang dibentuk akan melalui proses pengukuhan kesan daripada pengulangan corak yang sama.

Satu kajian yang diketengahkan pakar sosiologi dan linguistik British, Basil Bernstein, mendapati kanak-kanak kelas menengah atas lebih mudah belajar di sekolah berbanding kanak-kanak kelas menengah rendah.

Kajian Basil menunjukkan kanak-kanak menengah atas yang didedahkan dengan bahan bacaan dan budaya bertutur dengan bahasa tinggi berbanding kanak-kanak menengah rendah yang terdedah kepada corak bahasa tempatan yang menggunakan laras bahasa yang rendah di rumah.

Daripada kajian ini, didapati kanak-kanak menengah rendah berhadapan kesukaran dalam pembelajaran di sekolah kerana mereka tidak didedahkan pada bahasa tinggi yang terkandung dalam buku pelajaran yang digunakan di sekolah.

Akibatnya, kanak-kanak ini secara langsung terperangkap dalam kemiskinan budaya dan kemiskinan ilmu yang menjadikan mereka tertolak ke belakang. Malah, kemiskinan ekonomi juga tidak dapat dinafikan kesan daripada kegagalan menguasai pengetahuan asas.

Kajian Basil memberi gambaran kepada kita bahawa jenis pertuturan yang digunakan oleh ibu bapa kepada anak dan bahan bacaan yang diberikan memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka.

Jika dilihat dari perspektif dunia buku, kajian ini membuktikan bahawa konteks sesebuah buku dan cara ia ditulis mempunyai kaitan yang rapat kepada penciptaan kedudukan hiraki sosial pembaca.

Hasil kajian ini juga memberitahu kita bahawa karya yang ditulis dengan penggunaan bahasa pasar lebih memberi kesan buruk kepada pembaca. Ia menjadi mitos yang dipegang oleh penulis tempatan yang percaya gaya penulisan seperti itu membantu mengembangkan karakter positif dan budaya fikir pembaca.

Lebih menakutkan lagi, penulis tempatan sebenarnya berperanan secara langsung meletakkan pembaca pada hiraki lebih rendah. Karya yang ditulis membawa pembaca ke dalam kumpulan sosial yang rendah dan terus kekal dalam kelompok itu. Begitu berkuasa bahan bacaan yang dihasilkan sehingga mencipta realiti kepada pembacanya.

Penulis tempatan bukan saja berperanan memperbanyakkan judul buku tempatan. Pada masa sama, buku yang ditulis hendaklah mematuhi adab berkarya, iaitu mengambil kira keperluan menulis menggunakan bahasa Melayu tinggi.

Acapkali, penulis sama ada berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen beranggapan, penulisan menggunakan bahasa pertuturan mempermudahkan kefahaman dan penguasaan ilmu oleh pembaca.

Malah, penggunaan bahasa pertuturan yang bercampur aduk dengan bahasa pasar yang dibawa ke dalam bentuk penulisan berhadapan dengan risiko jangka hayat karya yang pendek.

Pada sekitar tahun 1960-an perkataan ‘mambang’ adalah perkataan yang popular digunakan dalam filem Melayu. Perkataan ‘mambang’ dikaitkan dengan gadis atau perempuan cantik. Semakin zaman berlalu, perkataan itu menjadi tidak relevan dan tidak diguna pakai seperti diungkapkan dalam dialog filem Melayu pada ketika itu.

Banyak karya penulis tempatan yang berkualiti isinya melalui fasa kepupusan dalam industri buku tempatan. Karya yang mati menjadi kerugian dalam proses pembinaan ilmu masyarakat. Ia menjadi sebuah karya yang tidak relevan dan tertolak daripada fungsi asalnya iaitu memperbaiki masyarakat secara keseluruhan. Keadaan ini berpunca apabila penulis tidak berkarya dengan adab bahasa yang disarankan.

Kebanyakan penulis tempatan dalam pelbagai genre berhadapan sukar menukar rentak karya mereka apabila karya mereka sudah lama ditulis dengan rentak bahasa yang tidak sesuai dengan amalan bahasa Melayu tinggi. Tetapi ia perlu dilakukan demi memastikan ‘survival’ ilmu dan pemetaan pemikiran tempatan bertahan pada jangka masa panjang.

Apabila tanggungjawab adab berbahasa tidak diangkat oleh penulis tempatan, maka karya mereka bertukar bukan sebagai ejen pembina bangsa, sebaliknya menjadi pembunuh dalam senyap yang merosakkan kod budaya yang terkandung dalam sesuatu bahasa.

Nota: Ucapan terima kasih kepada Prof Abdullah Hassan atas input yang diberi.

Ingin terbit buku impian sendiri? Klik di sini

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 361,847 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: