Cerita di sebalik filem Sepi, filem cinta, air mata lelaki dan ulasan tiga buah filem Hollywood

Tinggalkan komen

Julai 11, 2008 oleh zamrimohamad


Ketika saya menulis entri ini, saya sedang demam. Suara menjadi ala-ala Tuan Ramli Sarip. Mahu menelan pun sakit. Agak-agaknya petunjuk dari Allah bahawa bulan Rejab ini digalakkan berpuasa.

Maka dalam tiga ke empat hari ini, sesiapa yang menghubungi saya akan disambut oleh pembantu peribadi saya yang akan berkata, “Assalam alaikum, saya Zamri Mohamad. Maaf, saya tidak dapat menjawab panggilan anda. Sila tinggalkan pesanan. Terima kasih.”

Kemudian disusuli bunyi beep yang pendek.

Kembali kepada cerita di kafe buku. Saya didatangi oleh seorang pemuda yang membawa bersama beg galas. Kemudian beliau datang memberi salam dan bercakap dalam bahasa Inggeris dengan skrip yang dihafal.

“Cakap bahasa Melayu sahajalah,” kata saya.

“Abang, saya datang hendak menjual DVD filem terbaru. Beratus-ratus filem saya bawa. Boleh dimuat turun ke dalam komputer riba. Abang hendak filem apa?” katanya.

“Saya sudah menonton semua filem terbaru,” jawab saya.

“Abang sudah menonton filem Wanted?”

“Sudah tonton.”

“Abang sudah menonton filem Hancock?”

“Sudah tonton.”

“Abang sudah menonton filem Get Smart?”

“Sudah tonton.”

Abang sudah menonton filem Sepi?”

“Sudah tonton.”

Kemudian anak muda ini masih mahu memujuk, “Saya ada siri filem lama. Abang sebut sahaja, saya ada bawakan. Abang sudah tonton filem 300?”

“Sudah tonton,” skrip yang sama saya ulang.

“Tolonglah, saya tidak ada wang,” pujuknya lagi.

Saya tidak melayan, hanya sambut dengan senyuman. Kemudian beliau pergi ke meja sebuah lagi, memujuk seorang pengguna komputer riba berbangsa Cina di Borders.

Seni pemasaran produk cetak rompak sudah masuk ke toko-toko buku besar. Dahulu, anak-anak muda ini akan ke kedai-kedai mamak membawa senarai tajuk filem lama dan baru. Sekarang, sukar sedikit.

Bercerita mengenai filem, saya berkesempatan berbual dengan seorang editor. Katanya, “Pengurus galakkan saya menonton filem jika mahu sentuhan yang mendalam bagi manuskrip novel-novel cinta.”

Saya diam dan berfikir. Ada betulnya juga saranan itu. Kita mungkin dapat mempelajari seni mencipta dialog, gambaran situasi dan pergerakan dalam sebuah karya. Cuma sahabat editor saya tidak dapat menonton wayang, “Saya mudah pening duduk dalam bilik gelap kemudian keluar kawasan yang terang.”

Sedikit ulasan penonton mengenai filem-filem yang sempat saya tonton.

Sepi : filem cinta dan air mata lelaki

http://www.sepithemovie.com/

Sepi adalah filem air mata lelaki. Benar, saya ulangi. Filem Sepi adalah filem air mata lelaki. Khabir Bhatia meneruskan sentuhan magisnya dalam filem kedua ini selepas kejayaan filem Cinta.

Biasanya filem cinta lebih memangsai perempuan. Kali ini lelaki menjadi mangsa. Bukanlah bermaksud perempuan digambarkan kejam. Tetapi situasi dan pilihan mendesak mereka melalui jalan yang sudah dipilih sebelum ini dan tidak mahu berubah. Melainkan satu kekuatan yang menjadikan mereka bersedia berubah dan membuat pilihan.

Sinematografi yang mengagumkan, jalinan dari satu babak ke satu babak yang indah dan latar penceritaan yang benar-benar membawa pengertian sepi dari kacamata setiap watak yang ditonjolkan. Jika filem-filem Melayu mahu diterima semula dan mahu dijadikan pilihan tontonan di panggung, filem Sepi adalah salah satu filem yang sepatutnya menjadi tanda aras filem yang berkualiti.

Saya dan Alif Firdaus (yang mengaku secara jujur mengalirkan air mata semasa menonton)bertentangan pendapat dalam beberapa hal berkenaan filem ini. Tetapi kami berdua bersetuju bahawa filem ini adalah filem yang berbaloi untuk ditonton oleh lelaki-lelaki bujang sebagai terapi pelembut hati. Sebagai sebuah filem cinta, pengakhiran yang diberi adalah pengakhiran yang indah dan melapangkan hati para penonton. Tiga daripada empat watak yang ditonjolkan memaparkan pengakhiran yang baik.

Cuma saya tertanya-tanya, adakah filem Sepi kritikan kepada kaum perempuan apabila berbicara soal cinta? Dalam diam, watak perempuan yang ditonjolkan sepanjang filem ini seolah-olah memberitahu pilihan dan keputusan mereka banyak melukakan hati lelaki. Sehingga pada satu peringkat, mereka perlu jelas dengan satu keputusan yang betul dalam memilih teman hayat.

Hancock : kisah hero yang sepi

Meet the superhero everybody loves to hate.

http://www.sonypictures.com/movies/hancock/

Filem ini mendefiniskan semula konsep hero dalam masyarakat Barat. Hancock (lakonan Will Smith) mempunyai kuasa luar biasa yang tidak diketahui dari mana asalnya. Sikap beliau yang membantu orang ramai selalu berakhir dengan kerosakan. Ini adalah kisah hero yang dibenci masyarakat, tidak menjadi idola apatah lagi contoh kepada generasi muda. Hakikatnya, Hancock mahu diterima dalam masyarakat meskipun dirinya berbeza. Sekali lagi kesepian hero lelaki menjadikan dia melakukan sesuatu dengan harapan diterima dan disayangi masyarakat meskipun caranya tidak betul.

Konflik timbul apabila Hancock mendapat tahu beliau tidak keseorangan. Seorang wanita dari kelompok yang sama masih hidup dan lebih mengejutkan wanita ini sudah berumahtangga dan secara sengaja meninggalkan Hancock. Beberapa abad lalu wanita bernama Mary Embrey (lakonan Charlize Theron) adalah isteri beliau. Satu kelemahan apabila mereka bersama, kuasa super mereka akan berkurangan dan bertukar menjadi manusia biasa. Dari masa ke semasa Hancock sentiasa diserang musuh dan cedera kesan daripada kehilangan kuasa super. Ini menjadikan Mary tidak ada pilihan melainkan berpisah dengan suaminya dan membina hidup baru dengan manusia normal.

Lebih mengejutkan, lelaki normal yang dikahwini itu adalah perunding imej Hancock bernama Ray Embrey (lakonan Jason Bateman). Ray bertindak membantu Hancock kerana percaya bahawa beliau mempunyai peluang diterima orang ramai jika betul caranya. Mary merahsiakan kuasa super yang dimilikinya daripada Ray. Rahsia Mary yang terdedah akibat perbuatan Hancock menjadikan Ray dalam dilema.

Filem ini mempunyai penghujung yang menarik. Hancock akur dengan keputusan Mary meninggalkan dirinya. Manakala Mary tidak beralih kasih kepada Ray. Manakala Hancock sedar kelebihan yang dimiliki menjadikan beliau harapan orang ramai bagi menjaga keselamatan mereka. Hancock membuat pilihan. Filem ini juga diadaptasi menjadi komik. Klik di sini

Get Smart : si pandai yang disisihkan dan mahukan penghargaan

Saving The World. And Loving It.

http://getsmartmovie.warnerbros.com/

Ia adalah cerita lama yang diberi wajah baru. Ketika saya di sekolah rendah, ia disiarkan di televisyen sebagai drama bersiri. Ia diterbitkan pada tahun 1965. Masih disiarkan sekitar awal dan akhir 1980-an di Malaysia. Setiap episod akan memaparkan satu kes yang perlu ditangani. Dalam versi filem, ia mengisahkan seorang pakar analisis jenayah bernama Maxwell Smart (lakonan Steve Carell) yang bercita-cita mahu menjadi agen khas. Tetapi agensi tidak membenarkan beliau berbuat demikian meskipun layak dan melepasi saringan. Maxwell juga dikenali dengan panggilan Agen 86 di bawah agensi risikan bernama Control.

Sehinggalah pada suatu hari, agensi telah disabotaj dari dalam dan data setiap agen khas dibocorkan. Tanpa banyak pilihan beliau dipilih menjadi agen khas bersama-sama seorang agen wanita bernama Agent 99 (lakonan Anne Hathaway) membongkar aktiviti organisasi yang menjadi musuh negara bernama KAOS.

Cerita ini diingati kerana permulaan filem yang unik. Pada awal tayangan ia akan menunjukkan Agen 86 akan melalui beberapa buah pintu keselamatan yang pelbagai rupa sehinggalah ke sebuah pondok telefon yang menjadi pintu masuk ke pusat agensi berkenaan.

Wanted, filem aksi pecah kepala di sana sini dan seni membunuh menggunakan peluru lencong

Choose your destiny.

http://www.wantedmovie.com/

Filem mengisahkan lelaki yang bermasalah dalam hidup. Watak utama bernama Wesley Gibson (lakonan James McAvoy) ditinggalkan oleh ayahnya pada usia tujuh tahun. Berhadapan dengan tekanan kerja di pejabat kesan daripada sikap rakan baik yang merampas kekasihnya dalam diam, sikap majikan yang suka menekan dan beliau menjalani kehidupan yang tidak ideal. Tema filem ini berkisarkan kumpulan pembunuh profesional dan bakat membunuh yang tidak henti-henti. Alasan, bagi memastikan dunia aman, pembunuhan itu perlu tanpa diketahui sebabnya.

Hidup Wesley berubah apabila beliau mendapat tahu beliau adalah anak kepada pembunuh profesional yang bergerak di bawah kumpulan rahsia The Fraternity yang bergerak sejak tahun 1986.

Filem ini tidak mempunyai kekuatan dari sudut jalan cerita. Hanya gah pada penggunaan efek khas. Maka saya tidak tahu apakah ulasan yang baik hendak diberikan kepada saudara semua.

Filem ini mempunyai novel grafik dengan tajuk yang sama. Ia dicetuskan oleh Mark Millar sebagai penulis siri ini pada tahun 2003 dan 2004. Manakala ilustrasi dihasilkan oleh Mark Millar J. G. Jones.

Novel grafik ini mengadaptasi karakter-karakter hero super kepada hero super yang lebih logik tanpa kuasa khas, mereka berkupayaan hanya dengan bakat semata-mata. Ini adalah percubaan menghasilkan hero generasi baru.

Nota: Penulis juga mahu mengisi waktu senggang menonton filem dan mencari konsep buku. Bukan sahaja mencari idea pada buku, malah cara bagaimana filem dipakejkan dapat dijadikan rujukan untuk mempakejkan buku dengan sedikit pengubahsuaian. Mahu tahu lagi? Klik di sini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 363,129 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: