Mentor Jutawan bersama Irfan Khairi (versi e-buku)

Tinggalkan komen

Julai 26, 2008 oleh zamrimohamad


Maklumat

Tajuk buku: Mentor Jutawan bersama Irfan Khairi (versi e-buku)
Laman e-buku:
http://www.irfankhairi.com/mentor?a_aid=d92ea9f4&a_bid=4e69d055
Penulis: Irfan Khairi
Terbitan: Irfan Khairi Sdn Bhd dan Radio 24

Irfan dedah rahsia jutawan
Oleh Zamri Mohamad

Jarang sekali perkembangan buku elektronik atau e-book diulas. Mungkin ia masih dianggap sebagai satu perkembangan yang terasing dari industri buku fizikal. Ada juga menganggap ia masih belum benar-benar menjadi produk yang memberi persaingan sebenar kepada jualan buku sebenar.

E-buku tempatan mempunyai pasaran luas di kalangan pengguna internet negara yang bertambah dari tahun ke tahun. Angka pada tahun 2005 memperlihatkan sejumlah 10,040,000 orang pengguna tempatan sehingga bulan Disember 2005.

Berdasarkan jumlah pengguna yang direkodkan pada tahun 2005, ia mewakili 38 peratus jumlah penduduk negara. Sehingga tahun 2007, jumlahnya ia sebanyak 11,016,000 orang.

Laporan Internet World Stats menyebut berlakunya pertambahan 200 peratus pengguna internet tempatan. Rekod menunjukkan dua pertiga daripada sepuluh juta pengguna tempatan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.

Penulis dan pengusaha bisnes internet, Irfan Khairi pernah mengejutkan masyarakat tempatan dengan bukunya Rahsia Jutawan Internet Terbongkar terbitan Truewealth pada tahun 2006.

Irfan kembali sekali lagi membawa sebuah karya terbaru kepada masyarakat tempatan. Berbeza kali ini, Irfan membawa produk buku elektronik sebagai kesinambungan siri-siri buku beliau sebelum ini.

Selepas menghasilkan buku kedua berjudul Nota Jutawan Nota Motivasi di bawah penerbitan Telaga Biru, Irfan mahu membuktikan pasaran ilmu masih relevan dalam dunia internet. Kali ini, Irfan kembali dari dunia buku fizikal ke e-buku.

Melalui laman web ini, e-buku berjudul Mentor Jutawan Bersama Irfan Khairi diperkenalkan kepada khayalak pembaca buku dalam bahasa Melayu. Berbanding kedai buku tradisional yang mempunyai rangkaian, laman web menjadi akses kepada e-buku ini,

Mentor Jutawan mula mendapat respon di kalangan pengguna internet tempatan sejak ia diperkenalkan pada pertengahan bulan Julai.

Mentor Jutawan secara langsung membuktikan pasaran ekonomi bahasa Melayu masih relevan dan kompetitif sehingga hari ini.

Idea Mentor Jutawan diadaptasi daripada kejayaan Mike Litman yang mengendalikan rancangan radio beliau The Mike Litman Show.

Dalam buku Conversation with Millionaires didedahkan kejayaan rancangan radio ini menemubual jutawan-jutawan dan ikon sukses Amerika seperti Robert Kiyosaki, Jack Canfield, Mark Victor Hanson, Robert Allen, Jim Rohn, Jim McCan dan Jay Conrad Levinson.

Mentor Jutawan Bersama Irfan Khairi membawa dimensi baru kepada khayalak pembaca. Ia mengetengahkan bicarawara Irfan bersama tujuh orang ikon yang dilabel sebagai ikon jutawan.

Formula sukses dan kebebasan kewangan serta pengalaman jatuh bangun kelapan-lapan ikon ini menjadikan e-buku ini mendefinisi kejayaan dalam acuan tempatan. Ia dilihat sebagai autobiografi ikon-ikon yang berjaya dalam bidang yang diceburi.

Lapan ikon terlibat berkongsi pengalaman dalam e-buku ini adalah Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, Azizi Ali, Datuk Dr Rusly atau lebih dikenali sebagai Chef Li, Datuk Husamuddin Yaacob pengasas kumpulan Karangkraf, Dato’ Dr Azman Ching, AbuAyubul Ansari Bin Ibramsha dari Singapura, Billi P.S Lim dan Irfan sendiri.

Idea penghasilan e-buku Mentor Jutawan bermula daripada sebuah rancangan radio Jutawan yang disiarkan oleh Radio 24.

Menurut Irfan, “Dalam Mentor Jutawan, saya menemubual tujuh ikon jutawan selama 30 hingga 90 minit dalam rancangan radio Jutawan bersama Irfan Khairi di Radio24.”

“Saya mengambil masa yang lama bagi mendekatkan diri dengan orang ramai sejak tahun 2006 lagi. Tujuan adalah bagi memahami apakah masalah dan soalan yang sering ingin ditanya kepada para jutawan. Soalan yang saya ajukan kepada para mentor jutawan disediakan mengikut keperluan orang ramai,” jelas Irfan.

Mentor Jutawan Bersama Irfan Khairi berbentuk transkripsi temubual antara Irfan bersama ketujuh-tujuh ikon lain. Sebagaimana dialog dalam sebuah kisah, Irfan memilih mengekalkan penulisan e-buku ini dalam format asal sebagaimana ia dirakamkan dalam bentuk audio.

Kisah ikon seperti AbuAyubul Ansari Ibramsha mungkin asing di kalangan rakyat tempatan. Namun, individu yang lebih dikenali sebagai Abang Abu merupakan salah seorang usahawan yang dikenali dalam bidang pengurusan kewangan di Singapura. Ikon televisyen di negara jiran ini mendedahkan enam peringkat bagi mencapai kebebasan kewangan.

Memiliki enam jenis perniagaan dan hartanah di Malaysia, perjalanan usahawan berusia 35 tahun ini bermula dengan kematian ibu dan ayah beliau dalam satu kemalangan jalanraya ketika perjalanan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang. Peristiwa 13 tahun lalu menjadikan beliau sebagai ibu dan bapa kepada empat adik beradik yang lain yang berusia tujuh ke 19 tahun.

Ditinggalkan dengan bebanan hutang beberapa ribu dolar Singapura tinggalan bisnes keluarga, beliau berhenti daripada meneruskan pengajian peringkat diploma di sana dan kembali ke Johor Bharu bagi mengusahakan perniagaan nasi lemak.

Dalam usia 22 tahun ketika itu, Abang Abu berulang-alik ke Singapura dan bekerja di Newton Hawker Centre dengan bayaran 40 dolar Singapura setiap sesi.

Perjalanan panjang usahawan muda ini sehingga lahirnya Now Asia pada tahun 2003 menjadikan beliau menjadi pakar rujuk dalam bidang keusahawan, pendidikan kewangan, pembangunan diri dan pemasaran siber.

Mengakui masih ada gemuruh apabila berhadapan dengan orang ramai, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah mempunyai perjalanan unik menjadi salah seorang motivator nasional. Beliau melihat gemuruh adalah tanda pengucap awam itu menghormati tahap intelektual audien yang mendengar.

Berpengalaman mengendalikan lebih enam ribu kursus motivasi, Fadzilah mengakui pilihan keluar dari dunia makan gaji pada awalnya tidak dipersetujui oleh ahli keluarganya, iaitu ayahnya sendiri pada 15 tahun lalu ketika beliau masih menduduki jawatan profesor madya di universiti awam.

Jelas Fadzilah, tekanan kepada individu mencetuskan daya kreativiti dalam diri. Ia mencetuskan tenaga apabila berhadapan dengan cabaran. Niat merangsang orang lain ke arah perubahan juga dilihat sebagai satu tekanan kepada diri agar memberikan sesuatu yang terbaik.

Budaya membaca yang diterapkan dalam amalan hidup menjadikan Fadzilah lebih bersedia dan peka dengan keadaan semasa yang menuntut perubahan. Menjadikan amalan membeli sepuluh buah buku sebulan, beliau memastikan tiga hingga empat buah buku selesai dibaca dalam tempoh seminggu.

Memetik kata-kata, “Apabila kamu membandingkan diri kamu dengan orang lain, maka kamu telah menghina diri kamu,” menjadikan Fadzilah Kamsah terdorong melihat pembahagian kehebatan diri manusia oleh Allah adalah setara tetapi dalam pakej yang berbeza. Di sini perlunya bagi individu memahami dan mengurus bakat yang sedia dimiliki.

Bercerita mengenai kegagalan, Azizi Ali mempunyai kisah kegagalan tersendiri 17 tahun lalu. Kegilaan terhadap dunia muzik menjadikan Azizi terdorong membuka kedai kaset. Ini menjadikan beliau salah seorang daripada enam pemilik kedai kaset berbangsa Melayu terawal ketika itu.

Tanpa mengetahui kadar margin keuntungan bisnes sedemikian kurang 30 peratus, Azizi meneruskan perniagaan tersebut dengan pengetahuan industri yang terhad. Ditambah lagi dengan saingan pekedai-pekedai lain, Azizi akur dengan kegagalan perniagaan beliau.

Ini menjadikan Azizi menganalisa kembali corak kegagalan yang dilalui dan merangka kembali pendekatan yang betul sebelum terjun ke dunia bisnes. Azizi mendapati kajian menunjukkan 90 peratus individu yang berbakat dalam satu bidang tertentu tidak dapat menjalinkan bakat itu dengan kemahiran bisnes yang baik.

Azizi juga mengenalpasti Hukum Parkinson (Parkinson’s Law) dalam pengurusan kewangan iaitu kecenderungan individu berbelanja melebihi daripada pendapatan sedia milik.

Pengurusan kewangan yang betul menjadi remedi kepada inidividu yang berhadapan dengan Hukum Parkinson. Iaitu agihan sebanyak sepuluh peratus pendapatan ke dalam simpanan. Individu perlu diajar mengawal kuasa kewangan mereka sebelum ia menjadi barah.

Mentor Jutawan Bersama Irfan Khairi adalah e-buku yang membawa alternatif kepada para pembaca tempatan. Ia adalah dokumentasi pemikiran ikon-ikon sukses tempatan yang memberi suasana tempatan bagi diadaptasi kepada langkah kejayaan. Selama ini para pembaca tempatan tidak mempunyai pilihan buku-buku bisnes yang merujuk kepada profil sukses usahawan tempatan.

Sebelum ini dunia buku tempatan lebih banyak diperkenalkan kepada senarai panjang jutawan Barat dan Asia di luar sempadan negara.Ia menyukarkan para pembaca tempatan mengadaptasi pengalaman-pengalaman sukses ikon jutawan luar negara dengan budaya dan suasana tempatan yang mereka lalui.

Kesannya, terdapat jurang budaya yang menjadikan buku-buku luar negara tidak begitu mesra pembaca.

Namun kejayaan mengikut acuan tempatan kini didokumentasi dengan begitu terperinci melalui e-buku Mentor Jutawan sebagai manual dan senarai semak mencapai gol peribadi.

Maklumat

Tajuk buku: Mentor Jutawan bersama Irfan Khairi (versi e-buku)
Laman e-buku:
http://www.irfankhairi.com/mentor?a_aid=d92ea9f4&a_bid=4e69d055
Penulis: Irfan Khairi
Terbitan: Irfan Khairi Sdn Bhd dan Radio 24

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 357,018 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: