Forum Realiti Bisnes Malaysia bercerita mengenai realiti bisnes antara kaum

Tinggalkan komen

Julai 27, 2008 oleh zamrimohamad






Tuan Ann Wan Seng, penulis buku best-seller Rahsia Bisnes Orang Cina (kanan)

Forum Realiti Bisnes Malaysia bercerita mengenai realiti. Perubahan yang perlu dibuat bagi memastikan usahawan berkualiti dapat dihasilkan. Rata-rata peserta forum berpuas hati dengan penganjuran persatuan Ekonomi dan Sains Pengurusan apabila menghimpunkan tiga panelis pelbagai bangsa bagi bercerita mengenai dunia bisnes dari perspektif formula bangsa.

” Di negara Cina pertumbuhan ekonomi meningkat sebanyak 15 peratus. Manakala Malaysia sekitar tiga peratus. Mempelajari budaya bisnes bangsa Cina sudah lama digalakkan malah dalam sejarah Islam, orang Islam digalakkan mempelajari beberapa ilmu penting. Pertama, kaedah membuat kertas menggantikan kaedah menulis atas pelepah tamar. Kedua, penghasilan sutera bagi digunakan membalut pedang. Ketiga mempelajari penghasilan tembikar bagi menggantikan bekas air daripada gangsa,” bicara Tuan Ann Wan Seng membuka Forum Realiti Bisnes Malaysia di Bilik Persidangan, CAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Jelas Tuan Ann yang juga penulis best-seller Rahsia Bisnes Orang Cina, konsep survival yang diajar dalam masyarakat Cina menjadikan mereka hidup di mana-mana ceruk dunia.

Tuan Muhammad Faisal Sharbuddin menerangkan peranana ibadah dan bisnes yang jelas kelihatan dalam amalan perniagaan India Muslim. Penulis Buku Rahsia Bisnes Mamak ini melihat kebanyakan program bisnes yang dianjurkan oleh badan belia tidak begitu mencapai sasaran. Ini kerana mesej persuasif yang digunakan bagi menambah bilang peserta lebih menekankan kepada kepuasan jangka pendek.

“Para peserta dijemput dengan ajakan adanya makanan percuma, tempat tinggal yang selesa dan sijil penyertaan bagi mereka yang mendaftar. Ini menjadikan kursus bisnes yang ditaja oleh agensi lantikan tidak menghasikan usahawan-usahawan sebenar,” jelas Faisal.

Bagi Tuan Fauzul, “Pemilihan penceramah dan pembimbing kursus bisnes tajaan kerajaan perlu dikaji semula. Kesannya tidak seperti diharapkan apabila penceramah terdiri daripada kakitangan agensi dan bukannya usahawan atau peniaga sebenar. Kesannya mereka tidak menceritakan realiti bisnes kerana mereka sendiri tidak bermula dari bawah dalam dunia bisnes.”

Beliau menekankan beberapa mitos dalam dunia bisnes Melayu.

1. Bisnes perlu rasuah jika mahu berkembang.
2. Bisnes perlu ada orang politik untuk berjaya.
3. Bangsa Cina tidak akan membantu orang Melayu.
4. Mahu buka bisnes perlu cari pengalaman dahulu sebelum berniaga.
5. Sudah jadi takdir orang Melayu tidak boleh berniaga dan bersaing
6. Mahu berjaya dalam bisnes perlu kedekut ilmu.

Orang Melayu usah menjadi seperti jin dalam dunia bisnes. Maksudnya, berdampingan dengan orang tertentu untuk menjalankan bisnes. Sikap berdampingan dengan orang lain sebagai tuan (ahli politik) tidak ubah seperti jin yang berdampingan. Apabila tuan mati, maka jin akan mencari tuan yang baru. Amalan ini mesti ditolak jauh-jauh.

Bangsa Melayu mempunyai kemampuan bisnes kerana sejarah membuktikan kemampuan orang Melayu mengurus bisnes berisiko tinggi seperti pengurusan pelabuhan dan perdagangan sebelum berlakunya penjajahan pertama bangsa asing. Kemampuan bangsa Melayu dalam dunia bisnes secara langsung mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa bisnes yang wajib dipelajari oleh peniaga-peniaga lain. Kelebihan peniaga Melayu hanya dicatat oleh orang-orang asing.

Selepas penjajahan berlaku apa yang disebut sebagai 100 tahun tempoh senyap apabila tidak ada rekod mengenai perkembangan orang Melayu. Apa yang berlaku sepanjang tempoh senyap itu adalah hikayat-hikayat yang menunjukkan sisi negatif orang Melayu. Antaranya watak Pak Pandir, Lebai Malang dan Mat Jenin yang tidak kesampaian angan-angannya.

Tambah Tuan Fauzul, “Angan-angan yang disekat dalam cerita Mat Jenin adalah pemprograman minda agar jangan berani berangan-angan mencapai sesuatu yang terbaik dalam hidup dan bisnes.”

“Semua bangsa ada yang menipu dalam bisnes, tetapi penipuan dalam bisnes adalah keuntungan bersifat sementara,” jelas Tuan Ann.

Pendidikan dalam keluarga bangsa Melayu perlu diubah agar lebih bersedia dengan cabaran dan survival. Tuan Ann yang menjalankan kajia sosiobudaya masyarakat Melayu mendapati kesan didikan yang tidak diubah dapat dilihat dengan gejala histeria dan latah dalam masyarakat Melayu berbanding Cina.

“Histeria kesan daripada lemah semangat terhadap sesuatu. Selalu benar ia terjadi di kalangan pelajar Melayu, tidak pernah pula dengar ia terjadi di sekolah Cina. Latah pula adalah letusan daripada perasaan yang tidak diluahkan ketika kecil hingga tua. Kesannya menjadi ‘terlebih’ semangat pula. Maka, proses pendidikan dalam keluarga perlu menekankan kepada asas didikan yang menguatkan semangat dan memberanikan mereka membentuk pandangan,” jelas Tuan Ann.

Survival masyarakat Cina berlaku di negara-negara Afrika. Kini, restoran Cina sudah berada di Kenya. Papua New Guine yang mempunyai masyarakat dengan 165 bahasa etnik pelbagai tidak menjadi masalah kepada masyarakat Cina membuka bisnes di sana.

“Orang Melayu tidak malas dan ini disanggah. Kualiti mereka sebagai nelayan dan petani yang lasak menguruskan keperluan kerja dapat diserapkan dalam budaya bisnes. Orang Melayu tidak perlu menjadi orang Cina untuk berjaya, bekerja seperti orang Cina pasti mereka akan berjaya dan kompetitif” sambung Tuan Ann.

Tuan Ann dan Tuan Faisal berkongsi pandangan yang sama pendidikan survival perlu diterapkan dalam masyarakat bisnes tempatan. Mereka perlu diajar bagaimana berhadapan dengan bantuan demi bantuan dalam sektor tertentu yang ditarik sedikit demi sedikit dalam jangka masa panjang. Budaya memberi terlalu banyak bantuan memberi keselesaan yang akan membuat para peniaga tidak bersedia dengan kejutan.

Masyarakat bisnes juga perlu diajar kaedah mengurus risiko. Usahasama tulin antara usahawan Melayu dan Cina dapat dilakukan apabila falsafah ‘sin yung’ (percaya) dan ‘kuang si’ (ambil berat) menjadi teras kepada kerjasama sesama kaum.

“Usah mengali-baba peluang bisnes yang diterima. Ia adalah sandiwara bisnes yang mahukan untung atas angin. Tetapi apabila penerima sub-kontrak memperolehi untung lebih banyak berbanding penerima kontrak asal, timbul rasa tidak puas hati dan mula menuduh orang lain menipu,” ulas Tuan Ann.

Forum Realiti Bisnes Malaysia benar-benar menjadi satu wacana ilmu yang memprogram minda para peserta Melayu dalam budaya bisnes menurut acuan setiap bangsa.

Nota: Ini adalah entri terakhir saya bagi satu tempoh yang saya tidak pasti bilakah blog ini akan dikemas kini. Saya akan mengundur diri dari dunia blog sehingga ke satu tempoh saya bersedia kembali.

Terima kasih kepada semua pembaca blog ini. Saya doakan Tuan dan Puan berada dalam kesejahteraan, lapang jiwa, keceriaan dan dinaungi kasih sayang makhluk di langit dan di bumi.

Ingin terbit buku sendiri? Klik di sini.
Ketahui pendedahan 8 jutawan Malaysia oleh Irfan Khairi. Klik di sini

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 360,187 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: