Beraya pertama kali dengan anak-anak kampung 1993

Tinggalkan komen

September 25, 2008 oleh zamrimohamad


Kali pertama saya beraya dengan budak-budak kampung adalah pada tahun 1993, dua tahun selepas saya berpindah dari Kuala Lumpur ke Melaka. Budak-budak kampung yang dimaksudkan adalah rakan sekelas di SMK Tinggi Melaka. Ketika itu kami di tingkatan tiga.

Beberapa hari sebelum cuti bermula, masing-masing sudah berpakat untuk beraya ke salah sebuah rumah rakan kami. Dari rumah rakan kami bernama Yusran Omar, kami akan beraya di rumah-rumah lain termasuklah rumah saya.

“Ibu, kawan-kawan akan datang ke rumah hari raya ini,” kata saya dengan harapan adalah juadah untuk mereka ketika mereka datang menziarah.

Kami berjanji berjumpa di stesyen bas awam di tengah-tengah bandar Melaka pada jam 10.30 pagi. Hari ini, stesyen bas awam telah berpindah ke Melaka Sentral. Kawasan itu kini dijadikan restoran sate. Ada lima orang semuanya. Salah seorang daripadanya rakan sekampung.

“Kamu tahukah jalan ke rumah Yusran?” soal salah seorang daripada kami.

Kata rakan saya, “Tahu, katanya naik bas nombor 45 dan turun di kawasan rumah awam.”

Kami berempat yakin dengan jawapan yang diberi. Bas yang sepatutnya kami naiki sudah lama berada di stesyen, cuma pemandunya sahaja tidak kelihatan. Kami menaiki bas itu dan duduk di kerusi belakang.

Dalam perjalanan kami berlima asyik memandang kiri dan kanan jalan. Melihat-lihat papan tanda rumah awam. Bas nombor 45 sudah melintasi beberapa rumah awam. Kami mula sangsi, kerana tidak tahu mana satu rumah awam yang dimaksudkan.

Kemudian kawan saya menekan loceng, kami berlima turun dan menghadap sebuah bangunan sekolah. Rupa-rupanya beliau mahu menghubungi Yusran menggunakan telefon awam di tepi sekolah itu.

Sementara menanti, kami masih melihat kiri dan kanan. Kebetulan di seberang jalan tidak jauh dari sekolah itu ada deretan rumah awam. Papan tanda jelas berdiri di tepi jalan. Agaknya rumah Yusran di sini.

“Katanya rumahnya atas sedikit, kena jalan lagi,” kata kawan kami yang menghubungi Yusran.

Jam 12 tengah hari. Hari sudah meninggi, setengah jam kami berjalan masih tidak nampak kawasan rumah awam yang dimaksudkan. Masing-masing sudah mandi peluh, jelas kelihatan pada baju raya masing-masing.

“Ada pertandingan rentas desakah?” tanya seorang penduduk kampung yang melihat kami berjalan. Lelaki Cina sekitar umur 50-an tersenyum melihat kami. Rumah saudara Yusran tidak kelihatan.

Kata rakan kami rumahnya bukan di kawasan rumah awam, ia berdekatan dengan kawasan itu. Apa yang kami dengar ketika itu adalah, “Bukit Rambai”

Kami bertanya kepada seorang penduduk kampung di situ.

“Kalau hendak dekat ikutlah jalan sawah, lebih mudah terus sahaja ikut jalan ini,” kata lelaki itu sambil menunjukkan sawah yang dimaksudkan. Kami memilih untuk mengikut jalan raya.

Kami melintasi sebuah balai polis, salah seorang rakan kami mencadangkan kami bertanya kepada anggota polis di situ. Itulah kali pertama saya masuk ke balai polis setelah sekian lama. Mahu dipanggil Tuan atau Datuk pada pegawai bertugas? Kami meniru panggilan seperti filem Melayu dulu-dulu. Pegawai polis yang masih muda dipanggil Datuk. Ketika itu ada dua sahaja pegawai bertugas. Suasana sunyi membuat kami gementar.

“Rumah kawan kamu ada penghawa dinginkah?” soal pegawai polis terbabit apabila kami mengajukan soalan.

“Tidak ada rasanya.”

“Oh, kawasan itu dekat sahaja, jalan terus sahaja sehingga nampak ladang getah. Selepas ladang getah kamu akan nampak kawasan perumahan. Di situlah rumah kawan kamu.”

“Kenapa pegawai itu bertanya rumah Yusran ada penghawa dingin atau tidak?” tanya saya.

Masing-masing geleng kepala.

Kami tiba di rumah Yusran selepas berjalan kaki merentasi kampung, beberapa rumah awam, kawasan sawah dan ladang getah. Dari tempat kami turun daripada bas sehingga ke rumah Yusran mengambil masa satu jam.

“Itulah bertindak mengikut arahan yang betul. Tidak mengapa, sila minum,” pelawa Yusran selepas menghidangkan sejag jus oren buat kali keempat. Dia masuk ke bilik dan keluar membawa beg bimbit ayahnya. Ditekannya butang pada kedua-dua belah beg bimbit itu, “Kerana kamu semua datang, aku beri setiap orang duit raya.”

Selepas itu, rasa-rasanya mereka datangkah ke rumah saya?

Tidak.

Ibu memang ‘angin’ dengan saya selepas menyediakan hidangan untuk rakan-rakan. Sejak hari itu saya tidak berani berjanji lagi.

Beraya dengan rakan-rakan di Melaka ini memang ganjil ceritanya. Selepas lima tahun, kami berkumpul kembali. Kali ini aktiviti ziarah lebih tersusun berbanding dahulu.

Kali ini jumlahnya lebih ramai. Ada berkonvoi dengan motosikal dan berkereta. Saya sudah lama tidak berjumpa mereka beberapa tahun sebelum itu. Kerana program ziarah mereka selalunya tidak kena pada masa kecuali pada hari itu.

Pada hari itu, kami berkumpul di rumah rakan. Kemudahan telefon bimbit memudahkan mereka merencana aktiviti. Saya masih tidak mempunyai telefon bimbit ketika itu. Kami berkumpul di rumah seorang rakan. Saya datang sendiri kerana ada urusan di rumah. Setibanya saya di sana masing-masing diam dan memandang.

Apa salah saya?

Sahabat saya bernama Ammar datang menghampiri saya, “Aku ingat kau sudah mati!”

Pada awalnya saya ingatkan gurauan cara orang Melaka. Tetapi bukan dia sahaja, mereka yang lain menyangka saya sudah meninggal dunia setahun lalu. Ini semua disebabkan maklumat tidak sahih daripada salah seorang daripada mereka yang ‘dengar-dengar’ saya sudah meninggal. Cerita ‘dengar-dengar’ menjadi cerita benar bagi mereka. Saya pula sudah lama tidak menghubungi mereka.

Tambahan lagi, memang beberapa rakan kami meninggal tidak lama sebelum itu. Saya juga masuk senarai.

Nota: Insya Allah dua entri nostalgia raya akan bersambung. Sekadar hendak menimbulkan mood raya. Ada cerita menarik berkongsilah dengan kami di sini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,080 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: