Pembuka Bicara Hati. Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad

Tinggalkan komen

Oktober 17, 2008 oleh zamrimohamad



Pembuka Bicara Hati

Bersama-sama Tuan Imran Yusof, buku Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad akan menemui pembaca pada penghujung tahun ini. Sedikit petikan daripada Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad.

“Menjadikan cinta pasangan sebagai ibadah memenuhi kekosongan jiwa, mendorong kebaikan, membuka pintu kasih, mencurahkan rahmat tuhan dan tiket bertemu semula di syurga.”
Anonymous

Buku ini adalah sentuhan daripada suara hati lelaki dan wanita yang memberi formula cinta abadi dalam perhubungan. Satu demi satu jiwa disentuh bagi membuka resipi kejayaan membina cinta yang menjadikan mereka kekal dalam perhubungan sehingga ke hari ini.

Kita mampu membina cinta sehebat Khadijah

Mahu menjadi seperti Khadijah di hati Muhammad tidak sukar dan dapat dicapai oleh saudari. Ramuan kebahagiaan dalam dunia cinta dan perkahwinan yang diadun dengan betul mencipta keenakkan dalam hidangan kasih yang tersaji. Formula kasih inilah yang menjadi hubungan bersama pasangan pencetus kepada kasih daripada tuhan dan pembina cinta nabi kepada diri kita sebagai sebahagian umat.

Bongkar magnet diri dalam diri wanita

Dalam diri setiap perempuan ada sesuatu yang menjadi magnet menarik lelaki yang setia menjadi pasangan hidup. Magnet dalam diri ini mencipta episod-episod cinta yang indah dan bermakna sebagai memori manis sepanjang hayat.

Inilah manual kepada kebahagiaan cinta

Kepada yang sedang mencari cinta, inilah manual yang terbaik menjadi hadiah kepada kebahagiaan anda. Kepada yang sedang membina cinta, inilah menyemarakkan kehangatan kasih-sayang bersama yang tersayang. Kami menemui rencah bahagia dalam bercinta daripada mereka yang sudi berkongsi petua yang dapat diamalkan pembaca.

Letakkan diri agar terus diingati dan disayangi

Jadilah bagaikan pecinta setia umpama Khadijah dalam dunia kontemporari ini.

Saudari bagaikan Khadijah yang menjadi ingatan dan sebutan di bibir. Saudari juga bagaikan Khadijah yang menjadi puji-pujian atas kesantunan serta limpahan kebaikan yang dihargai oleh lelaki. Saudari bagaikan Khadijah yang menjadikan model kepada hubungan cinta yang ideal ketika mana ramai tandus dalam cinta.

Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad adalah perjalanan kematangan cinta

Buku ini merupakan satu perjalanan kematangan dalam membongkar rahsia cinta dan perhubungan. Bermula daripada buku Memahami Bahasa Cinta Lelaki, Magnet Cinta: Membuat Orang Tertarik Hati Setiap Masa dan 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki, semua buku ini membawa kepada persoalan-persoalan baru yang timbul dalam fikiran pembaca moden.

Dalam buku terdahulu, ada kisah benar dan tip bagaimana seorang isteri dapat mempertahankan bahagia dan cinta dalam perkahwinan selama 30 puluh tahun dengan segelas air di atas meja.

Buku-buku tulisan sebelum ini membawa kepada peristiwa unik kepada penulis. Pada tahun 2006, seorang suami membelikan 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki semata-mata mahu dihadiahkan kepada isterinya dengan kata-kata, “Agar isteri lebih memahami diri saya.”

Pada tahun yang sama buku Memahami Bahasa Cinta Lelaki pada awalnya disambut dengan curiga orang lelaki kerana dilihat sebagai mendedahkan kelemahan lelaki.

Acapkali dilihat di kedai-kedai buku, reaksi lelaki kurang selesa apabila Memahami Bahasa Cinta Lelaki dibelek oleh pasangan. Persepsi berkenaan semakin berkurangan apabila Memahami Bahasa Cinta Lelaki dilihat membantu menjelaskan dan mengakrabkan hubungan dengan tip membina cinta yang mempunyai motivasi serta matlamat.

Buku Magnet Cinta: Membuat Orang Tertarik Hati Setiap Masa ditulis dan dipersembahkan secara istimewa kepada pembaca pada tahun 2007 . Ia menjadi buku hadiah yang diterima baik pasangan lelaki dan perempuan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 mempertemukan saya dengan beberapa pembaca lelaki yang menggalakkan pasangan membaca Magnet Cinta kepada pasangan.

Malah, seorang pembaca dari Singapura menyifatkan ia sebagai buku motivasi cinta. Pembaca bernama Salbiah Sirat dari Tebans Gardens Road Jurong, Singapura berkata “Magnet Cinta banyak merangkumi berbagai aspek tentang cinta. Cinta adalah satu penjernihan peribadi yang terdapat dalam jiwa manusia. Ia merupakan satu fitrah. Satu motivasi tentang cinta yang amat kuat.”

Magnet Cinta memberi kesan mendalam kepada penulis apabila ada pembaca yang mengaitkan buku ini dengan memori cinta dilalui oleh ibu-bapanya. Memetik sebahagian kata oleh pembaca ini, “”Apa yang aku dapat simpulkan,banyak perkara yang aku pelajari dalam buku ini. Setiap kali membelek helaian di dalamnya aku akan tersenyum sendiri.”

Mencari kejutan rencah cinta bahagia

Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad membawa babak-babak cinta yang penuh kejutan, selalu disampaikan secara lisan tetapi jarang dibukukan sebagai panduan. Kejutan demi kejutan ini memberi nilai tambah dalam perhubungan saudari. Semua kejutan ini disatukan dalam sebuah buku untuk para pembaca.

Sejak tahun 2006, para pembaca membangkitkan kehendak mereka mencari intipati bahagia bersama pasangan. Ketiga-tiga buku yang ditulis sebelum ini membawa kepada penyempurnaan pencari cinta yang menjadi ibadah berpahala dan lestari melalui Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad.

Perjalanan dunia bujang ke dunia berumahtangga

Di sinilah dibongkar realiti A ke Z kisah dari dunia teruna dan dara kepada dunia suami dan isteri yang disusun sebagai manual cinta dalam acuan tempatan. Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad menjawab persoalan perhubungan dan cinta yang sentiasa menjadi tanda soal dalam hati para pembaca.

Kebahagiaan adalah anugerah yang berhak dimilikimu

Apakah bahagia itu milik sebahagian orang dan sebahagian lagi tidak memperolehinya?

Hasil daripada respon para pembaca terdahulu, kali ini buku Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad membantu para pembaca menambah rencah bahagia dan memanjangkan usia cinta. Mereka yang bermula dari kosong dalam membina cinta melangkah ke petak pertama ke dunia kasih sayang ini dengan buku Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad sebagai peta perjalanan.

Apabila kita bercinta, kita sedang membina syurga dan pada sama mencari-cari syurga. Apa yang dimaksudkan membina syurga dan mencari-cari syurga? Hidup bersama pasangan di dunia menjadikan kita menukar warna dunia ini menjadi sesuatu yang indah dengan mencipta syurga yang disulami keindahan hidup bersama-samanya.

Dalam membina syurga di dunia, kita mencari-cari syurga dalam hayat seterusnya yang dijanjikan tuhan. Syurga yang menjanjikan kasih dan hidup bersama yang abadi. Kedua-dua syurga yang terus menjadi impian hidup kita bersama pasangan.

Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad satu karya untuk semua

Buku ini juga menjadi senarai semak bagi pencari cinta dalam menyemarakkan hubungan indah dan bermakna. Kepada yang sudah mengecap nikmat cinta, mungkin ada seseorang dalam fikiran saudari yang dirasakan perlu saudari dihadiahkan Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad. Moga-moga ia memberi senyuman dalam dunia cintanya.

Siapa pun saudari, di mana saudari berdiri ketika ini dan ke mana saudari selepas ini, saudari berhak membina kebahagiaan, keabadian dan ketulusan cinta umpama Khadijah. Ia adalah permata yang menjadi pemanis dan penghias hayat anda.

Jika cinta itu adalah fitrah, maka cenderung saya berkata, fitrah itu diurus dengan enam perkara berikut.

F iaitu fikiran. Membersihkan minda dan berkembang menjelajahi dunia cinta
I iaitu inspirasi. Maksudnya mencari role model yang ideal dalam bercinta
T iaitu teknik. Pecinta tahu apakah teknik yang diaplikasi dalam membina cinta.
R iaitu respon. Pecinta mengenalpasti maklumbalas bagi pembaikan dan refleksi diri
A iaitu aplikasi. Pecinta belajar dan mengamalkan ilmu yang dipelajari
H iaitu hamba. Pecinta membina cinta sesama manusia dan menjadi hamba yang mencintai Allah

Selami maksud cinta sebagai fitrah dan nantikan buku Bagaikan Khadijah di Hati Muhammad.

ZAMRI MOHAMAD
IMRAN YUSUF

Nota: Gambar di atas adalah kulit buku Magnet Cinta: Membuat Sesiapapun Tertarik Hati Setiap Masa Setiap Waktu yang berada di seluruh negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,066 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: