(2) Jaket hitam dan senyum orang kampung

Tinggalkan komen

Julai 23, 2009 oleh zamrimohamad


Separuh hari kedua,

Lampu di soket menerangi bilik sepanjang tiga hari di sana.

Tanpa talian internet. Keadaan bilik gelap. Lampu kalimantang dalam bilik ini tidak berfungsi. Hanya lampu pada soket menerangi sebahagian daripada bilik berhawa dingin.

Duk…. dak…. duk…. dak….

Bunyi derap kasut but bertapak besi jelas kedengaran di atas. Setiap langkah atas lantai papan ini jelas kedengaran ketika mereka turun dan naik.

Kasut bertapak besi ini dipakai oleh kakitangan ketika berada di kawasan kerja. Sebagai satu langkah keselamatan apabila berlaku musibah. Begitu juga topi pelindung yang digunakan.

Saya berada di kawasan kediaman kakitangan operasi Ramunia. Fabricators Sebuah kediaman dua tingkat yang sudah lebih dua puluh tahun.

Kediaman kakitangan bukan eksekutif setinggi dua tingkat.

Ramunia Fabricators di bawah Ramunia Holdings Berhad adalah satu jenis industri berat yang menghasilkan pelantar minyak untuk syarikat carigali minyak seperti Shell dan Petronas. Di sinilah pelantar dihasilkan dan dihantar ke kawasan yang ditentukan bagi proses carigali bermula.

Bangunan baru Ramunia yang bakal mengumpulkan semua pejabat di sini.

Saya berada di sini selama hampir tiga hari. Melihat kerja mereka dari jauh dan cuba memahami bagaimana kewujudan Ramunia Fabricators memberi kesan kepada kampung sekitar.

Kewujudan industri berat yang beroperasi di tanah seluas 176 ekar memberi pekerjaan pada masyarakat kampung, mendedahkan orang luar dengan kewujudan kampung sekitar yang terpencil dan membangunkan kawasan sekitar serta menghidupkan pekan kecil berhampiran. Itulah kesan besar Ramunia Fabricators di Teluk Ramunia.

—–

“Apa yang dipakai oleh kakitangan Ramunia menentukan siapa mereka dan apa jawatan mereka di sini. Jika yang datang itu berjaket hitam dan berlogo Ramunia, orang tua-tua yang punya anak gadis senyum lebar sahaja. Anak gadis pun sama juga,” kata sahabat saya.

Mereka yang berjaket hitam adalah eksekutif di sini. Yakni mereka yang berkelulusan ijazah dan banyak terlibat dalam pengurusan operasi di yard. Jika bermenantukan mereka berjaket hitam, masa depan anak gadis yang disunting cerah. Maklumlah orang berkerjaya dan berkedudukan dalam organisasi.

Sebab itulah adakalanya ada sub kontraktor memakai pakaian berlogo Ramunia, mahu menumpang tuah daripada logo itu meskipun mereka bukan sebenar-benarnya kakitangan Ramunia, sekadar bekerja atas tuntutan kontrak.

—–

Saya sempat juga mengenali seorang gadis berusia 17 tahun. Beliau sudah ada pacar, katanya. Seorang pengimpal di Ramunia. Itu pun sudah cukup bagus bagi gadis muda ini yang bekerja di sebuah gerai makan di Pekan Rengit.

Si putih yang duduk di kediaman datang ke arah saya dan melihat.

Satu-satunya kucing jantan di sini.

Di tempat saya menginap ada hampir sepuluh ekor kucing. Seekor sahaja kucing jantan di situ, selebihnya kucing betina dan anak-anak kucing yang baru mahu membesar. Comot sahaja, mungkin kerana kawsan berdebu ini menjadikan kucing-kucing ini comot sebegitu. Kecuali seekor yang berwarna putih, itu pun kerana dimandikan.

Tandasnya di luar, seperti berek polis dulu kala. Sekali lihat seperti berek polis di Bukit Kepong dalam filem lakonan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Kata sahabat saya, “Ada dua jenis kediaman. Satu untuk eksekutif dan satu lagi untuk bukan eksekutif, iaitu mereka yang bekerja di tapak.”

Generator sebagai persediaan jika bekalan elektrik terputus. Ya, ia pernah berlaku.

Tingkap ditutup bagi mengelak daripada debu. Kesemua bilik mempunya penghawa dingin.

Sahabat saya ini memilih tinggal di kediaman bukan eksekutif. Katanya kediaman eksekutif akan sunyi pada hujung minggu, semua pulang menemui anak isteri di rumah masing-masing. Sahabat yang masih bujang ini akan tinggal seorang di situ.

Berbeza di kediaman terdahulu, kebanyakan mereka di sini ada yang bekerja mengimpal pada waktu malam bagi mencari pendapatan tambahan. Bunyi derap kasut apabila mereka pulang tengah malam adalah perkara biasa.

Ada sebahagian kakitangan menyewa di luar. Sewa sekitar RM200 sehingga RM300 ringgit. Bagi kakitangan luar negara seperti jurutera dari Australia yang bertugas di situ, mereka menyewa rumah yang lengkap perabotnya pada nilai lebih seribu ringgit sebulan.

Tengah hari, saya keluar ke kawasan pekan kecil. Pantai Rengit. Sejauh lapan kilometer dari Teluk Ramunia. Pandangan malam semalam yang terhad kini menjangkau jauh. Kali ini barulah saya berpeluang melihat apa di sekeliling.

Seperti saya katakan saya bukan melancong. Tidak memilih rumah tumpangan atau pun hotel berdekatan. Ini adalah perjalanan luar perancangan. Hotel dan rumah tumpangan mudah ditemui di sini.


Hanya ada dua buah bank sahaja untuk memenuhi urusan penduduk sekitar. Hujung minggu, harga rumah tumpangan dan hotel akan naik sedikit. Ramai pelancong tempatan dan Singapura akan datang singgah ke sini selain daripada pergi ke Desaru.

Sebentar tadi Tuan Fauzul menghubungi berkenaan program bersama Akademi Penulis. Sayang sekali tidak ada talian internet di sini untuk menghantar fail yang dimohon. Ketika entri ini ditulis,hanya perisian notepad sahaja menjadi peneman.

Kedai makan ini pernah muncul dalam Utusan Malaysia. Ia berhadapan laut.

Pantai Rengit dan kawasan sekitar terkenal dengan makanan lautnya. Harganya murah dan berpatutan. Ada sesetengah kedai lewat menyediakan hidangan, tetapi apa yang diberikan kepada pelanggan pasti memuaskan hati mereka.

Kucing ini melompat ke kerusi sebelah apabila saya duduk di situ. Kenapa banyak benar kucing sepanjang saya di sini!

“Mereka memasak sama seperti memasak di rumah,” kata kawan saya.

Kata-kata ini mengingatkan saya lewat beberapa tahun lalu ketika menemani rakan yang mahu menziarahi bakal keluarga mertuanya di Kedah. Kedai yang kami pilih menikmati makan malam di situ lewat sekali menyediakan hidangan, tetapi cara menghidangnya, kedudukan mangkuk lauk, pinggan, sudu dan garpu seolah-olah kami berada di luar.

Ada kedai makan yang mengenakan harga yang sedikit tinggi berbanding kedai-kedai lain. Harga yang dikenakan itu berkait rapat dengan jenis pelanggan yang datang makan ke kedainya. Tetapi ia berbaloi dari segi kualiti masakan. Bezanya sekitar tiga ke lima ringgit berbanding kedai lain.

Misalnya di Warung Senandung Selatan. Pelanggan-pelanggan yang majoritinya bekerja di Ramunia akan makan tengah hari di situ. Sebahagian daripada mereka suka makan berhidang. Lauk pauk diasingkan pada pinggan lauk berbeza.

Makan berhidang

Jam lebar di dinding.

Produk makanan kampung

Kakitangan Shell di kedai makan. Pakaian menentukan berapa harga makanan yang diambil.

Saiz mejanya agak besar berbanding kedai makan lain. Memang dibuat sebegitu bagi mereka yang mahu makan berhidang bersama keluarga.

Jika mahu mencari pasar malam setiap minggu, lupakan sahaja. Pasar malam di sini beroperasi dua kali dalam sebulan berdekatan dengan medan ikan bakar.

—-


Waktu malam saya berpeluang berada di atas helipad melihat Teluk Ramunia Yard milik Ramunia Fabricators secara keseluruhan. Para pekerja sibuk mengimpal. Kelihatan percikan api ketika kerja mengimpal sedang dijalankan.

Sukar untuk saya memahami setiap satu fungsi dan struktur yang berada di sekitarnya. Istilah yang asing pada saya. Perkataan jacket, semi submisel dan seumpamanya diajukan pada saya. Angguk sahaja tanda faham.

Mereka melakukan kerja mengikut kehendak pelanggan seteliti mungkin. Sebarang kesilapan memerlukan mereka bermula semula dari awal.


Dari jauh lampu-lampu kapal cerah menyinari langit malam. Menunggu giliran masuk ke pelabuhan Singapura. Dari hujung ke hujung, lampu-lampu kapal seolah-olah seperti tiang lampu di sepanjang lebuhraya yang lurus.

Semua ini saya lihat dengan pandangan mata yang berbeza, “Tuhan, luruskan pemikiranku, luruskan jiwaku. Teguhkan hatiku seteguh besi-besi di tempat ini. Jadikan diriku kuat menghadapi perasaan yang berbolak-balik dan jadikan diriku orang yang bermanfaat sebagaimana bermanfaatnya sumber alam yang kau berikan pada mereka.”

Ya, dia membawa saya ke situ untuk berfikir.

—-

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 371,343 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: