Empat lelaki Superman, empat buah cerita

1

Ogos 3, 2009 oleh zamrimohamad


Lelaki-lelaki Superman. Terima kasih kerana menyelamatkan jiwa ini daripada dirundung rasa sayu mahupun lesu. Mereka perkasa meskipun lusuh pakaian dan sudah ada yang kedut-kedut kasar pada wajah mereka.

Lelaki Superman satu

Isterinya terpaksa menerima hakikat, kakinya perlu dipotong kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dalam keadaan gembira punya nikmat sepasang kaki yang sempurna untuk berjalan meskipun perlahan, salah satu perlu berpisah dari tubuh.

Isteri yang sudah lanjut usia tidak mampu menahan rasa sedihnya. Emosinya adalah emosi orang tua yang mudah terusik dan lama untuk ditenangkan kembali.

Maka lelaki Superman datang menyelamatkan hatinya daripada terus dilanda kesedihan.

Lelaki Superman ini berhenti bekerja. Ada sedikit wang simpanan ketika bekerja. Mereka tinggal di rumah pangsa PPRT. Ya, superhero tinggal di rumah khusus untuk orang miskin.

Setiap petang lelaki Superman ini menemani isterinya berjalan jauh ke luar kampung, isterinya mahu melihat matahari petang di tepi pantai yang semakin jauh ditambak. Lelaki Superman ini berjalan menolak kerusi roda isterinya, melewati hadapan rumah saya yang berada di tepi jalan utama.

Sangka saya mereka mahu pergi ke rumah ahli keluarga di Limbongan setiap kali saya dan ibu melihat mereka. Tidak, suami ini berjalan hampir 45 minit, menolak perlahan kerusi roda isterinya agar ia tidak bergoyang-goyang semata-mata mahu memenuhi permintaan isterinya.

Saya pulang ke Melaka minggu lalu, jalan utama ke pantai sedang dibaik pulih. Sukar untuk pejalan kaki melalui tepi jalan yang sibuk. Tetapi tidak bagi lelaki Superman ini.

Beliau pergi menggunakan jalan lebih jauh, berjalan di tepi lebuhraya negeri yang sibuk dengan kenderaan yang gila kelajuan. Tetapi lelaki Superman ini adalah superhero, apa pun tidak mustahil asalkan isterinya dapat melihat matahari petang di tepi pantai Limbongan.

Lelaki Superman dua

Lelaki Superman ini adalah jiran saya. Kali terakhir saya temui ialah beberapa hari sebelum beliau menemui ajal dilanggar bas. Tubuh lelaki Superman ini kecil, kata orang tubuh ‘halus kecil melidi’. Jika beliau berdiri di sebelah saya, tingginya pada paras dada sahaja.

Lelaki Superman ini juga sudah pencen. Keperkasaan beliau lebih terserlah pada usia tua. Sama ketika zaman muda, sehingga umur tuanya, di mana sahaja beliau keluar bersama isteri, genggaman tangan mereka sangat erat. Meskipun berjalan ke pondok bas dan menaiki bas buruk kampung, genggaman ini sama sahaja seperti genggaman tangan pengantin baru ketika diarak ke pelamin.

Tangan yang saling hangat tergenggam tidak ada lagi. Isterinya pergi dahulu meninggalkan beliau. Kemudian lelaki Superman ini juga menemui Tuhan dalam satu kemalangan. Bas kampung yang sedang berundur melanggar tubuh kecilnya dan bahagian bawah tubuhnya digilis tayar bas.

Boleh jadi mereka bakal menggenggam tangan semula di syurga.

Rumahnya kosong, setiap kali saya membuka tingkap, saya melihat rumah yang penuh warna-warni kehidupan lelaki Superman ini dan isterinya.

Lelaki Superman tiga

Beliau adalah lelaki Superman yang miskin. Miskin kerana keluarga tidak bersetuju dengan pilihan beliau memperisterikan gadis di kampung ini. Lelaki Superman ini sabar dengan karenah dan dugaan yang dihadapi. Sudahlah keluarga tidak suka, situasi belanja di rumah pun cukup-cukup makan sahaja.

Tidak ada sesiapa yang membantu di kalangan keluarga mereka. Di rumah mereka ada satu periuk kecil. Periuk itu digunakan secara bergilir, mula-mula digunakan memasak air dan kemudian digunakan untuk memasak.

Adakah orang yang masih hidup dengan hanya satu periuk kecil di rumah?

Ya, masih ada.

Lelaki Superman ini bersabar dan selalu menggembirakan hati isterinya. Padanya, kekayaan mereka adalah ketenangan yang mereka rasai dalam rumah itu. Lelaki Superman ini mula membuat pelbagai kerja dan berniaga. Sedikit demi sedikit, dari satu periuk kecil, bertambah kelengkapan dapur. Kemudian segalanya lebih mencukupi. Melebih-lebih sehinggakan ada belanja untuk ahli keluarga yang pernah tidak menyukai mereka ketika zaman muda mereka dahulu.

Lelaki Superman empat

Lelaki Superman ini punya wajah yang serius. Anak-anak dan isteri pun adakalanya gerun dengan bibir yang lurus tanpa emosi terpamer pada wajahnya. Tetapi, lelaki Superman ini tahu wajahnya yang serius itu mungkin meresahkan. Tetapi itulah wajah yang dikurniakan. Wajah itu yang menjadi tatapan isteri selama lebih 30 tahun.

Lelaki Superman ini kurang bercakap. Tetapi ada satu perkara yang menjadikan dia hero di hati isterinya. Walaupun lelaki Superman ini sudah makan di luar kerana urusan kerja, belanja kawan-kawan atau pun pergi minum petang, lelaki Superman ini akan menjamah masakan yang disediakan oleh isterinya tanpa menolak. Lelaki Superman ini menghargai apa yang dilakukan oleh isterinya meskipun perut sudah sendat dengan belanja rakan.

Apa pun, inilah lelaki-lelaki Superman yang tinggal di kampung saya. Ada yang sudah tua dan ada yang sudah meninggal dunia. Lelaki-lelaki Superman ini mempamerkan sisi hero yang tersendiri. Terima kasih kepada lelaki-lelaki Superman ini kerana menjadi sebahagian pengalaman hidup saya.

Mampukah kita menjadi lelaki Superman itu?

Mungkin lelaki Superman sedang berjalan di hadapan rumah kita ketika ini.

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

One thought on “Empat lelaki Superman, empat buah cerita

  1. UstazCahaya berkata:

    Salam Akh Zamri.

    Ya, cerita yang menarik. Ia membuat saya merenung dan melihat diri sendiri. Saya lahir sempurna.. Alhamdulillah. Namun takdir Allah, pada umur saya 7 tahun saya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan menyebabkan sedikit kecacatan pada kaki kiri saya. Benarlah ajal maut sudah ditentukan Allah kerana saya sebenarnya hampir maut ketika itu.

    Mengingat itu, saya menjadi semakin berani menghadapi hidup. Selagi tidak ajal, kita tidak akan mati. Orang yang takut (kata Syeikh Al-Qarni dalam buku La Tahzan); 'mati sepuluh kali dalam sehari'.

    Perbaiki kekurangan yang mampu kita perbaiki, tapi jangan abaikan kelebihan diri yang dikurniakan Allah SWT. Jika ada kekurangan diri yang tidak mampu kita ubah, terimalah dengan reda
    bahawa kita adalah makhluk yang pasti punya kekurangan, juga mustahil untuk tidak memiliki kelebihan dan keistimewaan. Allah Maha Adil, saya sungguh2 percaya.

    Terima Kasih Zamri untuk artikel tentang 'lelaki super' yang menginspirasikan ini:-)

    PS: Anak Ahmad Dhani (Dewa) sudah popular dengan lagu Superman bersama bandnya The Lucky Laki.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,066 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: