Untuk siapa kita berpuasa hari ini?

Tinggalkan komen

Ogos 18, 2009 oleh zamrimohamad


Ketika zaman sekolah, ayah akan melekatkan senarai doa dan niat berpuasa berdekatan meja makan. Kami diajar membacanya dalam teks Arab dan kemudian membacanya dalam bahasa Melayu.
Selepas mengingatkan kembali cerita ini, saya teringat cerita lain pula. Ibu saya berkata ayah saya tidak pandai membimbing melalui kata-kata kerana beliau sendiri memang tidak banyak bercakap. Beliau akan membelikan buku-buku berkaitan untuk ibu berkaitan apa yang diperlukannya.

Jika beliau sukakan sesuatu, beliau akan potong dan tampal pada almarinya.

—–

Kemudian saya melihat diri saya di cermin, “Patutlah saya tidak begitu pandai menyampaikan hasrat hati saya melalui kata-kata melainkan benda-benda dan perkataan yang ditulis menjadi jurucakap saya.”

Minda separa saya dilatih begitu cemerlang menggunakan kaedah itu untuk sekian lama.

Saya sedang cuba belajar mengalihkan atau setidak-tidaknya mengimbangi keadaan ini. Mungkin yang pernah menghadiri seminar dan bengkel saya seperti tidak percaya dengan cerita ini. Bagaimana saudara boleh menggunakan masa dua jam bercakap sedangkan saudara sebegini.

Percayalah, menjadi murid di sekolah penulisan PTS menjadikan saya bercakap dan bercakap. Pengalaman bercakap kali pertama pada Febuari 2006 saya tolak sehinggakan mentor saya mencipta situasi ‘memaksa’ saya bercakap.

Seingat saya ketika itu editor perolehan menyusun jadual itu dan memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon. Saya tolak. Kemudian dalam panggilan telefon yang sama, pengurusnya pula mengambil gagang dan menyampaikan mesej lebih tegas.

Saya akur. Akhirnya, MPH Alamanda menjadi tempat pertama saya bercakap. Esoknya MPH Wangsa Maju pula. Pengalaman pertama, dua hari berturut-turut.

Bersungguh-sungguh editor perolehan itu mencanai idea-idea untuk membantu saya. Dari kuiz, kepada ceramah dan seumpamanya. Wajahnya, kata-katanya, segala contengan kertas dengan idea-idea. Beliau lebih galak bercerita dan bayangan mengenai apa dan bagaimana begitu jelas sekali.

Semua diatur elok meskipun pada hari sebenar, saya dan editor ini hanya saling berpandangan. Semuanya kerana saya tiba-tiba senyap di depan khayalak dalam tempoh yang panjang. Mencari-cari apa yang perlu dikata.

Saya benar-benar menghargai jasanya membantu saya yang ketika itu sangat jahil dengan dunia buku dan seni mempersembahkan buku kepada khayalak. Pastinya beliau perlu bersabar bagi memberi pendedahan-pendedahan itu kepada saya.

Kita pasti memerlukan kesabaran yang tinggi membimbing orang yang masih ragu-ragu dan teragak-agak apabila masuk dalam dunia yang asing daripada kebiasaan. Editor perolehan ini menunjukkan bagaimana kesabaran ini dipamerkan dalam dunia sebenar.

Terima kasih Allah kerana mempertemukan saya dengan penerbitan ini. Kebanyakan cerita ini saya sentuh sebagai how to kepada pemula dalam berkarya melalui buku Tip Menjadi Penulis Bestseller terbitan PTS Professional

“Apakah dengan segala kebaikan ini saya mesti mengambil mudah terhadap setiap satu karya saya? Tidak, saya sudah ikat janji kepada diri saya sejak awal lagi. Jika Allah izinkan, dalam usia yang entah berapa lama lagi ini moga-moga karya saya menjadi sebahagian daripada bestseller di bawah pimpinan beliau sebagai membalas susah payah beliau dan timnya.”

—–

Moga sahabat-sahabat baru bersabar dengan saya sekiranya saya ini seperti tidak bercakap banyak dalam apa-apa pertemuan dan mesej-mesej saya lebih banyak berbentuk tulisan ringkas dan sering diwakili objek bisu lain.

——

Kembali pada cerita asal.

Lama-kelamaan kami mula memahami apa itu puasa, kenapa perlu berpuasa dan menghafal bacaan niat puasa dalam dua bahasa. Ia menjadi pendidikan awal kepada kami yang masih bersekolah.

Dalam proses pendidikan, Sedikit demi sedikit tujuan berniat diterangkan oleh ibu bapa akan anak-anak tahu niat adalah asas kepada amal dalam hidup seorang Muslim.

Niat bagi menjadi Muslim yang baik dalam bulan Ramadan ini didukungi dengan doa. Allah memberi janji bagi memakbulkan kehendak hamba-hambanya yang mencari cahaya kebaikan sebagai panduan di dunia dan akhirat.

Ganjaran bermula daripada apa yang diniatkan dalam hati. Hadis dilaporkan oleh Umar Khattab dan direkodkan oleh Al Bukhari serta Muslim dalam bab Niat menyebut, “Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan.”

Niat adalah perbuatan secara sedar. Maka dari masa ke semasa memperbetulkan tujuan beribadah adalah proses bagi mendapat kasih sayang Allah. Ia dilakukan secara konsisten. dari masa ke semasa kita mengingatkan diri agar perjalanan puasa hari ini sentiasa lurus dan tidak ada yang lain selain daripada Allah tujuan ibadat dibuat.

Usaha konsisten adalah kerana fitrah manusia meletakkan perkara-perkara lain apabila adanya kepentingan diri timbul. Ia timbul apabila keperluan ini jelas dapat dilihat dan dirasa melalui deria.

Manusia sudah terbiasa dengan ganjaran bersifat material dan ia boleh mensasarkan fokus ibadah kepada perkara lain. Kerana itu niat sentiasa diberi kesegaran dengan mengingat diri dan melakukan usaha-usaha lain sebagai daya sampingan.

Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menulis dalam Memahami Hadis Niat, “Niat bertujuan membezakan untuk siapa seseorang itu beramal”

Soalan ini kembali kepada diri untuk menjawabnya, untuk siapa kita berpuasa hari ini?

Nota: Entri ini pernah dipanjangkan dalam sebuah akhbar sebelum ini dan muncul sebagai artikel pada tahun 2007 ketika bulan Ramadan.

——–

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,066 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: