Makan ramai-ramai atau makan seorang diri

Tinggalkan komen

Ogos 24, 2009 oleh zamrimohamad









Tuan Mohd Hamizal, Retail Executive MPH One Utama mengorbankan waktu selepas kerja jam 6 petang untuk melayan para penulis. Menemani kami berbuka dan mengimamkan kami dalam solat Maghrib berjemaah.

Terima kasih kepada rakan Facebook dan tim PTS yang hadir dalam majlis sebentar tadi.

Ini adalah tahun ketiga saya terlibat dalam program kemerdekaan anjuran PTS sejak 2007. Ia bermula dengan sesi fotografi dalam majalah Quil pada tahun 2007, bicara buku dalam dua minggu berturut-turut pada tahun 2008 dan hari ini, majlis berbuka puasa bersama pembaca dan penulis di Book Cafe, MPH One Utama.


Melihat buku-buku dalam bahasa Melayu disusun dalam keadaan yang tidak difikirkan oleh penulis-penulis tempatan sebelum ini, menjadikan kami semakin bulat hati menghasilkan karya yang bermutu dan mempunyai satu tujuan yang jelas, meningkatkan dan memandaikan bangsa (dan diri) melalui ilmu yang berkualiti.

Tugas para penulis adalah menulis. Itu adalah kerja sepanjang hayat. Saya ingin memetik sejarah perjalanan buku-buku dalam Bahasa Melayu dan bagaimana ia berada dalam kedudukan yang memerlukan kita semua memperjuangkan secara konsisten dan berterusan.

—-

Siapa yang masih berkata kumpulan elit Melayu tidak membaca buku-buku Melayu?

Sebenarnya, orang Melayu yang tidak sudi hendak membeli dan membaca buku-buku Melayu adalah terdiri daripada golongan yang tidak suka pergi ke kedai buku, tidak membeli buku, apatah lagi membaca buku! Kota Putrajaya adalah bandar kelas menengah Melayu.


Jika tuan-tuan pergi ke Putrajaya, singgahlah ke kompleks membeli-belah Alamanda. Di situ ada kedai buku MPH yang mempamerkan banyak judul-judul Melayu. Malah MPH Alamanda mempamerkan 80% judul Melayu manakala judul Inggeris 20% sahaja.

Keadaan begini tidak pernah terbayangkan oleh para pejuang buku Melayu. Di kompleks membeli-belah No.1 besar di Malaysia, yakni di Midvalley Kuala Lumpur, ada sebuah kedai buku MPH. Ia adalah kedai MPH yang paling besar.

Dulu-dulu sebuah buku Melayu pun tidak terdapat di dalamnya. Lima tahun yang lalu MPH membuat eksperimen menjual buku Melayu dan memberi ruang 50 kaki persegi sahaja.

Baru-baru ini MPH menambah ruang itu terus menjadi 2000 kaki persegi. Dulu-dulu, buku Melayu tidak laku, ataupun kalau laku, sangat sedikit jumlah yang terjual.

Disebabkan buku Melayu tidak laku, maka buku-buku itu di susun di rak belakang-belakang, berdekatan dengan pintu tandas! Begitulah merempatnya buku Melayu di tanah airnya sendiri. Sekarang, banyak kedai buku elit mempamerkan buku-buku Melayu betul-betul di depan pintu masuk! Itulah zon paling mahal dalam ruang kedai buku.

Penerbit sanggup membayar sewa kepada kedai buku supaya bukunya dapat diletakkan dalam zon emas itu. Dulu-dulu buku Melayu tidak merasa dipamerkan dalam zon emas di depan pintu masuk kedai-kedai buku elit seperti MPH, tetapi sekarang keadaan sudah berubah.


Petikan entri UNIKA 14 Julai 2009.

—–

Tetapi dalam kemewahan dan kedudukan yang diberikan ini, menjadi tanggungjawab penulis terus menulis buku yang berkualiti dan dapat dijual. Peranan penerbit menghasilkan buku yang mempunyai pakej yang menarik dan mencipta strategi pemasaran yang dapat menarik perhatian ramai.

Peranan pembaca adalah terus membaca buku-buku yang berkualiti dalam bahasa Melayu, mengkritik semata-mata mahukan penambahbaikan, mencadangkan agar sesuatu yang bersifat segar dapat disuntik ke dalam buku dan terus menerus membaca, membeli dan menghadiahkan buku kepada mereka yang dapat memanfaatkan.

—-

Sikap bersaing perlu dikonsepkan agar persaingan yang dilaung-laung dalam mana-mana penerbitan adalah persaingan yang fokus kepada peningkatan pakej buku dan bukan persaingan meletakkan diri di hadapan dan meninggalkan yang lain.

Ini tidak akan membantu mana-mana pemain dalam industri buku malah merencatkan lagi usaha murni ini.

Persaingan juga berlaku dalam sebuah organisasi apabila jabatan saling bersaing sehingga lupa keperluan asas bagi membentuk sinergi antara satu jabatan dan jabatan lain.

Ciri-ciri pesaing dalam jabatan cukup mudah dapat dilihat melalui tingkah laku dan keputusan yang diambil. Saya melihat dalam pengalaman kerja terdahulu sebelum menjadi penulis bagaimana persaingan ini cukup memperdayakan keseluruhan organisasi.

Steve Jobs pernah memisahkan syarikatnya kepada dua kumpulan jabatan yang menghasilkan dua model komputer yang berbeza. Mereka saling berlaga dalam menghasilkan komputer yang terbaik bagi menunjukkan kepada Steve Job siapa lebih ke hadapan membaca pemikiran beliau.

Apa yang terjadi?

Sudah ada pengasingan tanpa sedar dalam satu organisasi sendiri. Sebagaimana di dalam organisasi mereka bekerja dalam satu unit, di luar pun mereka bersama-sama bersosial sesama mereka dari unit yang sama, malah digambarkan dengan begitu jelas dalam sebuah filem, keadaan menjadi begitu teruk sehinggakan dalam majlis sosial anjuran organisasi pun masih kelihatan dua kumpulan berbeza.

Kesan negatif itu kembali kepada Steve Job.

Apakah itu akan terjadi pada kita? Kayu ukurnya cukup mudah. Bilakah kali terakhir atau sekerap mana kita duduk makan semeja bersama rakan-rakan dari unit lain bertukar fikiran dan mencipta sinergi baru?

Usah terkejut kesan daripada kekerapan ini ia memberi terapi menghadapi stress dan membuka laluan jenis produk yang bersilang antara satu unit dan unit lain.

Kita belajar daripada Google. Bagaimana Google Maps asalnya sebuah projek aplikasi peta yang dibuat suka-suka oleh tim Google daripada pelbagai unit ketika mereka duduk semeja bersosial. Apabila produk itu semakin matang, ia menarik perhatian Google sehingga menjadi sebahagian daripada aplikasi penting yang semakin berkembang.

Satu demi satu corak kejayaan silang antara unit yang memahami perbezaan persaingan peningkatan kualiti dan persaingan sesama unit. Ia adalah dua perkara yang sangat berbeza.

—–

Saya percaya kepada konsep sinergi dan saya bereksperimen kaedah ini berkali-kali. Saya mula menyertai bengkel penulisan di PTS anjuran Puan Ainon sejak tahun 2005 dan dalam tahun keempat saya masih mengulang menyertai bengkel ini bagi mencuba kaedah sinergi ini.

Dari bengkel ke bengkel saya kenal para penulis yang berpotensi baik lama dan baru. Sebahagian daripada mereka menjadi bertambah akrab kesan daripada hubungan roh yang memberi keselesaan jiwa.

Saya bereksperimen kaedah sinergi ini dalam menghasilkan karya. Ia bermula dengan buku Rahsia Bisnes Mamak bersama Tuan Faisal Sharbuddin. Kemudian mencuba menulis buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah bersama Tuan Imran Yusof.

Percubaan bersama bekas editor perolehan PTS Pro, Ahmad Yahaya Fadzli Jusoh membawa kepada buku Mengurus Konflik Gaya Streetsmart dan bersama beberapa lagi penulis hampir enam orang dalam judul berbeza.

Sinergi sentias menghasilkan energi dalam budaya kerja.

——


Bukti jelas dalam industri yang sama, persaingan saling membunuh secara senyap dan kita berasa tidak apa dan tidak berasa bersalah.

Julai 2008, saya diizinkan Allah bertemu dan minum semeja bersama Tuan Ahadiat Akashah. Beliau berkongsi ceritanya.

“Dahulu, pekedai buku besar tidak pandang karya Melayu. Hanya kedai-kedai buku Mamak sahaja yang sudi menjual karya kami,” kali ini kami menjamah roti jala.

Tuan Ahadiat juga menceritakan bagaimana sebuah penerbitan Mamak yang sama-sama dalam industri yang sama cuba memasuki kedai buku rangkaian.

Pada awalnya, hanya tiga judul novel Melayu diterima masuk. Itu pun dengan perasaan berbelah bagi oleh pegawai terbabit. Mereka meminta sepuluh tajuk dimasukkan dalam senarai, ia tidak dilayan.

“Saya masih ingat lagi bagaimana rakan penerbit kami menjual buku-bukunya. Mereka bergerak dari kedai ke kedai dengan menaiki bas. Ketika kami berjumpa mereka, tangan kanan dan tangan kiri mereka menjinjit bungkusan plastik berisi buku-buku Melayu untuk dijual. Mereka turun-naik bas dengan bungkusan-bungkusan plastik berisi buku,” kata Puan Norhayati Fauzi, isteri dan rakan kongsi Tuan Ahadiat.

Tuan Ahadiat menyambung cerita, “Apa paling menyeronokkan apabila novel-novel Melayu diterima masuk ke dalam kedai buku rangkaian. Apabila mereka melihat tiga judul dijual laris kurang daripada dua minggu, mereka sendiri meminta ditambah lagi judul-judul baru dibawa masuk.”

Saya terus mendengar.

“Dahulu adalah zaman yang penuh bangga bagi kami sebagai penerbit novel tempatan. Pekedai tidak berani menekan kami dengan diskaun yang tinggi. Kami hanya memberi diskaun sehingga 30 peratus. Take it or leave it. Mahu tidak mahu, pekedai akan ambil,” ceritanya.

Dalam cerita ada kegusaran.

“Apabila adanya penerimaan novel Melayu yang tinggi, maka timbul penerbit-penerbit novel indie mahu memasuki pasaran yang kami buka. Itu sememangnya ditunggu-tunggu, tetapi ada yang mendukacitakan,” katanya.

Saya menunggu alasan dukacitanya.

Katanya, “Kerana semata-mata mahukan judul-judul mereka masuk ke dalam kedai buku rangkaian, mereka memberikan diskaun yang tinggi melebihi 30 peratus.”

Apa kesannya.

“Pada satu keadaan ada yang sanggup menerima diskaun sehingga 45 peratus. Kesannya membunuh diskaun rendah penerbit-penerbit indie Melayu lain. Kedai buku rangkaian ada pilihan menolak dan mengambil buku penerbit lain. Mahu tidak mahu masing-masing akur dengan diskaun tinggi yang diminta kedai buku. Apabila penerbit indie tempatan tidak sepakat, kita ditekan,” kata Tuan Ahadiat.

Fanomena ini akan terus berterusan selagi mana penerbit-penerbit indie masih memikirkan survival individu berbanding survival bersama dalam industri buku. Itulah menjadi kebimbangan beliau.

Sempat juga Tuan Ahadiat dan isteri bertanya bagaimana PTS mampu mencetus kegilaan mencetak ratusan judul buku dan terus survival dalam industri.

Secawan kopi pekat sudah habis diminum, Tuan Ahadiat berkata, “PTS tidak boleh berhenti. Bisnes mesti terus berjalan sampai bila-bila.”

——–

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,080 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: