Bagaikan Aishah | Rendah stress di pejabat, kurang tekanan di rumah

Tinggalkan komen

November 24, 2009 oleh zamrimohamad


Rendah stress di pejabat, kurang stress di rumah

Oleh Tuan Imran Yusuf

Apabila ditinjau keadaan trafik di bandar-bandar besar di dunia seperti London dan Paris di Eropah, New York, Washington DC dan Chicago di Amerika, serta kota-kota di negara Asia Tenggara seperti di Jakarta, Bangkok dan Manila, kita akan menyedari bahawa kesesakan trafik telah menjadi lumrah bagi kehidupan seharian warga kota-kota besar di dunia.

Kereta dan hon di Thailand

Rakan saya yang bekerja di Bangkok menceritakan pengalaman menarik semasa kesesakan trafik di sana. Dia berkata, pemandu di sana jarang sekali menggunakan hon kereta dan sangat bertimbang rasa di antara satu sama lain.

Apabila seseorang pemandu memotong barisan, pemandu yang lain tidak memarahinya atau membunyikan atau pun memaki hamun mengeluarkan kata-kata kesat.

Sebaliknya pemandu lain akan memberi laluan dengan senang hati. Apa dia lihat amat berbeza sekali dari keadaan di negera ini semasa kesesakan trafik. Amalan pemandu di sana boleh mengawal stres mereka pada tahap minimum.

Keadaan tempat kerja mengundang stress

Bagi wanita yang bekerjaya, suasana di tempat kerja sering sahaja menjadi punca stres kerana banyak faktor yang menyumbang ke arah itu. Bukan sahaja bebanan kerja yang bertimbun, tetapi juga pelbagai karenah dari orang atasan dan rakan sekerja pun tidak kurang menekan dan menyebabkan stres.

Walau di pejabat atau di mana-mana tempat kerja pelbagai kerenah ini bolehlah diistilahkan sebagai politik di tempat kerja.

Selagi mana kita berurusan dengan manusia, maka selagi itulah kita berhadapan dengan politik di tempat kerja, kerana setiap orang mempunyai matlamat masing-masing yang berbeza dan sering bercanggahan antara satu sama lain.

Ada tiga pilihan bagi seorang pekerja bagi menghadapi politik di tempat kerja.

Pilihan pertama

Ambil sikap tidak mempedulikan politik dan menjalankan tugasnya semata-mata.

Pilihan kedua

Melibatkan diri sepenuhnya, iaitu dengan mengamalkan pendekatan ala Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara, demi untuk mendapat nama, kedudukan dan kenaikan pangkat yang segera.

Pilihan ketiga

Mengambil sikap peka pada politik pejabat, tetapi tidak sampai memangsakan rakan sekerja untuk mendapatkan nama, pangkat dan kedudukan.

Apabila memilih pendekatan yang pertama kita mungkin menjadi mangsa rakan sekerja yang memilih cara Machiavelli itu, kita dilihat sebagai pekerja yang bercita-cita dan cukup setakat cukup makan sahaja.

Bagi yang memilih pendekatan kedua, kita akan mendapat nama, kedudukan dan kenaikan pangkat yang segera, namun dalam jangka masa yang panjang kita menjadi orang yang paling dibenci di tempat kerja.

Kita dapat berpuas hati pada pencapaian yang dicapai, akan tetapi bagi seorang yang mengambil kira tentang masalah moral dan kepercayaan agama, cara ini tidak mungkin akan membawa kebahagiaan yang abadi.

Kedua-dua pendekatan tersebut boleh meningkatkan stres di tempat kerja.

Pilihan yang ketiga mengurangkan stres di tempat kerja. Iaitu menjalinkan hubungan baik dengan semua rakan sekerja, walau pun dengan individu yang kita tidak sukai.

Antara yang berdukacita dan lebih berdukacita

Mutiara kata para bijak pandai yang berbunyi, “Apabila berdukacita, carilah orang yang lebih berdukacita lalu bantulah dia mengatasi kesusahannya, semoga apabila dia tersenyum, maka senyuman gembiranya itu akan juga menghiasi wajah mu.”

Dalam konteks di tempat kerja bagaimana kata-kata ini diamalkan?

Rakan saya bercerita mengenai pengalaman beliau membantu rakan sekerjanya, “Beberapa tahun yang lalu pegawai yang mengetuai suatu projek membangunkan sistem teknologi maklumat (IT) meletakkan jawatan secara tiba-tiba pada saat projek itu berada di peringkat yang kritikal.

Orang penting berhenti tiba-tiba

Ceritanya lagi, ”Syarikat mempunyai waktu terhad bagi menyiapkan projek itu. Pada ketika itu saya merupakan salah seorang daripada juru analisa sistem dalam pasukan pembangunan sistem itu. Ketua saya ialah pengurus jabatan IT dan beliau mesti menyiapkan juga projek itu dalam masa yang ditetapkan.”

Beliau berada dalam situasi yang serba salah. Tiada siapa yang benar-benar layak yang dapat menggantikan pegawai yang berhenti itu.

“Beliau seorang pengurus yang tidak begitu mahir dalam berpencak silat politik pejabat. Jadi situasi beliau agak cemas. Saya menawarkan diri untuk membantu apa yang dapat saya bantu sementara menunggu pengganti, kerana projek mesti diteruskan,” katanya menceritakan saat kritikal itu.

Sambung cerita, ”Beliau bersetuju atas dasar tiada rotan akar pun berguna. Kami berbincang bagi mengatur strategi menyiapkan projek itu. Mula-mula beliau meminta waktu projek dilanjutkan selama sebulan atas alasan pegawai yang bertugas ketua projek telah meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Tugas saya pula ialah melakukan apa yang patut bagi menyiapkan projek itu dalam masa yang ditetapkan. Ertinya permintaan lanjutan masa hanya sebagai pelan kontingensi sahaja.”

Mendapatkan sokongan kumpulan

“Bagi mengembalikan semangat semua rakan sekerja yang terlibat dalam projek itu, kami memanggil mesyuarat dan memberitahu bahawa kita akan meminta waktu projek dilanjutkan, tetapi kami meminta pendapat mereka sama ada kita masih boleh mencuba bagi menyiapkan projek itu dalam masa yang ditetapkan.”

Kemudian keadaan sedikit berubah, ”Melihat keikhlasan pengurus itu dan kesungguhan saya, maka semua ahli mencadangkan kami menilai semua status setiap komponen projek itu supaya kami dapat membuat anggaran tarikh siapnya. Mesyuarat itu berlanjutan selepas waktu makan tengah hari. Setiap orang memberikan pendapat mereka dan petang itu kami mendapati projek itu masih boleh diteruskan dengan syarat ada orang yang mesti menguruskannya. Orang yang paling disetujui oleh mereka ialah saya.”

“Untuk tidak menghampakan harapan mereka, serta demi memikirkan inilah satu-satunya peluang bagi membuktikan keupayaan saya, saya pun bersetuju. Keesokan harinya saya pun menyenaraikan semua aktiviti dan memutuskan agar semua aktiviti akan dijalankan serentak, tidak secara linear, dengan tujuan untuk menjimatkan masa bagi menyiapkan setiap komponen dalam masa yang lebih awal daripada yang ditetapkan.

“Dalam pada itu pengurus kami telah membuat pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat bagi memohon lanjutan masa bagi menyiapkan projek itu. Biar pun beliau mempunyai alasan yang kukuh bagi melanjutkan masa selama sebulan, pihak pengurusan hanya meluluskan lanjutan masa hanya selama dua minggu. Ini bererti kami hanya mempunyai waktu buffer atau masa kecederaan selama dua minggu sahaja.

“Semua tugas dibahagikan dan semua ahli pasukan projek itu bertungkus-lumus menyiapkan projek itu. Hasilnya sungguh memberangsangkan, kerana kami berjaya menyiapkan projek itu seminggu sebelum tamat masa kecederaan yang dibenarkan oleh pihak pengurusan.”

Ia memberi kesan besar kepada semua. Pengurus dinaikkan pangkat, semua ahli pasukan mendapat gred yang bagus semasa penilaian prestasi kerja pada tahun itu,

”Paling mengejutkan apabila saya dinaikkan pangkat setelah mendapat sokongan kuat dari pengurus saya. Itulah hasilnya apabila kita membantu pengurus kita dalam saat dia sangat memerlukan bantuan, dia mendapat nama baik dan kita mendapat kenaikan pangkat,” kata rakan itu menamatkan kisahnya.

Membantu mengurangkan stres yang orang lain alami, kita bukan sahaja mengurangkan stres kita, malah mendapat ganjaran yang lumayan.

Baik dengan rakan sekerja tenang bersama pasangan

Jaga paras stres dalam persekitaran tempat kerja dengan menjalinkan hubungan baik sesama rakan sekerja. Menjalinkan hubungan baik di tempat kerja tidak bermakna melanggar peraturan yang tidak bertulis di tempat kerja. Cipta modal masa sebagai pelaburan perhubungan.

Modal masa bagi mencipta keakraban adalah pada waktu rehat, waktu makan tengah hari, pada awal pagi atau pada waktu sebelum pulang. Elakkan berbual meleret-leret sehingga mengganggu kerja masing-masing.

Bagi pertemuan sewaktu bekerja, hubungilah dahulu rakan itu melalui telefon atau e-mel. Maklumkan mesej mahu bertemu bagi membincangkan perkara tertentu.

Elakkan berkunjung secara tiba-tiba dan mendadak kerana ini mungkin mengganggu tugas rakan dan mengakibatkan kerja beliau tergendala kerana gangguan kita. Kita juga mempunyai tugas yang perlu diselesaikan.

Sekiranya perbualan atau sembang-sembang kosong berleluasa di waktu bekerja, akan mengurangkan produktiviti syarikat atau jabatan, sedangkan masih kerja yang tertangguh akibat daripada amalan itu.

Berbaik sangka terhadap rakan sekerja dan tidak membaca fikiran mereka. Elakkan perasaan syak wasangka yang tidak berasas.

Checklist tugas seharian dan mingguan

Cara mudah bagi mengelakkan tugas penting terbengkalai yang akan menimbulkan stres dalam diri kita ialah dengan membuat senarai semak atau checklist bagi semua perkara yang mesti dilakukan untuk hari itu dan minggu itu.

Siapkan semua tugas-tugas penting yang tidak boleh ditangguhkan pada hari itu juga. Sekiranya ditangguhkan ke hari esoknya, maka dengan sendirinya kita sudah mencipta kenaikan paras stres untuk kita bagi minggu itu.

Bayangkan bagaimanakah paras stres apabila tugas penting yang sepatutnya diselesaikan pada Isnin tertangguh hingga ke hari Jumaat.

Mungkin sahaja kita terpaksa mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyelesaikan tugas yang tertunggak itu dan tentunya paras stres akan meninggi.

Apabila kita menyediakan senarai checklist bagi tugas yang perlu dilaksanakan, kita akan membiasakan diri untuk bertegas dalam kegunaan masa.

Nota: Sebarang komen dan perkongsian serta respon terhadap artikel ini dialu-alukan
——-

Mengenai penulis

Siapakah Imran Yusuf?

Imran Yusof

Dilahirkan pada 2 Disember 1958 di Kelantan. Seorang Bussines Analyst yang turut aktif dalam program kemasyarakatan. Mempunyai jiwa seni bahasa dan cenderung kepada insan dan alam sekitar.

Beliau menjadikan dunia internet sebagai dunia interaksi global. Buku pertama beliau menerima sambutan, Tip-Tip Poligami: Di Bawah Payung Aishah dan ia tidak berhenti di situ sahaja. Buku ini pernah muncul dalam beberapa drama dan telemovie di Astro dan TV3.

Kemudian diteruskan dengan buku kedua berjudul Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah.

Business Analyst yang banyak menghabiskan masa di dalam dan luar negara telah mendedahkan beliau kepada pelbagai ragam manusia baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkeluarga.

Peluang bekerja di luar negara memberi beliau pengalaman baru bagi membandingkan budaya kekeluargaan tempatan dan luar negara. Antara lokasi yang menjadi tempat persinggahanya ialah London, Jakarta, Rotterdam, Istanbul, Sydney dan Melbourne.

——

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,186 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: