Bagaikan Aisyah | Mencipta cinta lelaki super

Tinggalkan komen

November 27, 2009 oleh zamrimohamad



Teruskan membaca entri di bawah

———-

Petikan buku Bagaikan Aisyah di Hati Rasulullah
Sekuel daripada buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Oleh Zamri Mohamad

Dari dalam bas yang melalui jalan kampung sejam sekali, saya melihat pasangan tua yang sedang berjalan di tepi jalan kecil. Jalanraya yang sibuk tidak dipedulikan oleh kedua-dua pasangan suami isteri ini.

Kenderaan yang bergerak laju tidak menimbulkan resah dalam hati mereka. Malah, pasangan tua ini sempat beramah mesra dengan penduduk kampung yang duduk di beranda rumah pada petang hari.

Kemudian saya teringat cerita orang kampung. Mengenai pasangan tua yang melalui jalan ini setiap petang. Ketika waktu tengah hari terik, suami akan menolak kerusi roda isterinya. Manakala isteri pula memegang payung melindungi dirinya dari kepanasan.


Suami tua ini tidak mengeluh dan ini yang dibuat setiap hari. Menolak kerusi roda isteri di tepi jalan yang sibuk dan meskipun pernah berlaku kemalangan di situ adalah perkara biasa kepada beliau.

Suami ini menolak kerusi roda isterinya dari rumah sehingga ke hujung jalan berdekatan pantai. Isterinya mahu melihat pantai setiap petang.

Setiap hari mereka bersarapan, pergi membayar bil, duduk di tepi pantai. Si suami sabar menolak kerusi roda isteri baik pada waktu tengah hari mahupun petang.

Menurut cerita orang kampung, anaknya sudah beberapa kali menasihati si ayah, tetapi ayahnya tetap berdegil mahu melakukannya. Beliau berhenti kerja bagi memberi tumpuan pada isterinya yang tidak mampu berjalan lagi.

Apabila tersiarnya foto ini dalam Facebook, ramai yang memberi komen.

  • “Sabarnya si suami.”
  • “Hebat.”
  • “Moga mendapat pengakhiran sebegitu.”
  • “Berapa ramai lagi yang mahu berbuat begitu?”
  • “Semoga suami saya dapat menjaga seikhlas hatinya.”
  • “Syahdu.”
  • “Inilah cinta sejati.”
  • “Alangkah sabarnya suami wanita itu.”

Komen Asniza Kamarulzaman menarik perhatian saya. Katanya, “Saya teringat komen seorang ahli forum di internet bernama Ummu Masyitah apabila saya ajukan soalan “Kenapa anda menyintai pasangan anda?”

Kata Ummu, “Rasanya saya sendiri tidak tahu jawapan ini sehinggalah telah melalui pahit manis kehidupan berumahtangga. Saya merasakan keikhlasannya apabial dia mengambil saya sebagai isteri.

“Abang, sekarang sayang sudah tidak cantik. Abang pasti malu punya isteri sebegini” kata Ummu sewaktu suami menolak kerusi rodanya.

Jawapan si suami ada pada hati dan terpancar pada wajah. Terlukis pada perilaku. Cukuplah sehingga hari ini, dia belum beristeri lagi dan menerima saya yang berkerusi roda ini seadanya.

Itu adalah suara rasa mereka yang melihat sekeping foto yang menceritakan segala-galanya mengenai lelaki tua bersama isterinya. Apa jua jawapan, saya meyakini apa jua jawapan yang diberi, pada mata lelaki tua yang setia menolak kerusi roda isterinya ini, beliau melihat isterinya bagaikan Aishah ketika muda dan pada waktu tuanya. Itulah keindahan yang dilihat lelaki tua ini.

Keindahan itu tetap kekal dan terus menjadikan lelaki tua ini tetap setia dan bersedia memenuhi kehendak isteri yang mahu melihat matahari terbenam di tepi pantai.

Bayangan Aishah pada isterinya itu menjadikan lelaki tua ini berasa tidak gentar berjalan perlahan, melalui kesibukan kenderaan lalu lintas yang bakal cuai dan menyentuh tubuh dua orang tua yang tidak ada daya ini.

“Itu mungkin hanya melibatkan pasangan tua sahaja. Mereka sudah lama hidup bersama dan sudah kenal satu sama lain. Sudah pasti kemanisan cinta dan keindahan itu dapat dilihat oleh pasangan. Tidak bagi pasangan muda.”

Benarkah andaian isteri yang bagaikan Aishah hanya terlihat pada pasangan tua sahaja? Benarkah bayangan yang sama tidak dapat dilihat pada pasangan muda yang baru melalui alam perkahwinan?

Dalam proses menyiapkan buku Bagaikan Aishah di Hati Rasulullah, tuhan izinkan kami melihat pasangan-pasangan yang memenuhi karakteristik yang dikaji.

Pada satu hari, seorang isteri membelakangi suaminya agar tangan si suami dapat berpaut pada bahunya dari belakang. Tujuan isteri bagi membantu suaminya yang teruja mahu menimbang berat di sebuah kompleks membeli belah.


Isterinya dan suami saling bergurau, sambil si isteri membantu suaminya berdiri, memapahnya ke mesin penimbang dan memastikan beliau duduk di kerusi roda. Masing-masing senyum dan ketawa. Ketika menolak kerusi roda di hadapan, masih jelas kedengaran gurau dan ketawa mereka.

Tidak ada riak wajah isteri melihat suaminya sebagai beban. Mereka lupa keadaan itu. Si suami ada pilihan untuk berasa rendah diri dengan kekurangan yang dihadapi. Si isteri ada pilihan untuk berasa penat melayani karenah suami.

Mereka memilih bergembira terhadap apa yang mereka lalui. Rasa tenang dan hati yang lapang berhadapan situasi ini menjadikan hidup sebagai pasangan sebagai satu perkara indah.

Sekali lagi, apa jua komentar yang diberi pada kehebatan pasangan ini, pada mata lelaki itu beliau melihat isterinya bagaikan Aishah yang sabar setia melayani sama ada ketika sihat dan ketika sakitnya nabi. Keindahan itu jelas mengukir senyuman lelaki di kerusi roda.

Keindahan itu tetap kekal dan terus menjadikan lelaki ini tetap setia dan bersedia memenuhi kehendak isteri. Kesungguhan isteri menyempurnakan hidup mereka sebagai pasangan.

Bayangan Aishah pada isterinya itu menjadikan lelaki ini berasa tidak gentar melalui situasi tidak berdaya yang mungkin mengambil sedikit masa untuk sedia kembali normal.

Situasi ini mengingatkan saya kepada kata-kata Zaharin Yassin di Facebook. Katanya, Itu bukan cinta. Itu adalah kasih sayang. Ramai orang bercinta tetapi tidak ada kasih sayang. Kasih sayang mengatasi cinta. Cinta itu angin, dapat dirasa tetapi tidak nampak. Kasih sayang itu adalah awan. Jelas nampak tapi tidak terpegang.”

Bayangan Aisyah ada dalam diri setiap wanita. Ia terpamer melalui perbuatan yang nyata menyentuh hati kekasih hati. Sebahagian sudah terpamer jelas pada awal perhubungan. Sebahagian lagi terpamer sedikit demi sedikit apabila hidup mula melalui tempoh kematangan. Bayangan Aishah dalam diri kita mencipta superman dalam dunia cinta. Mereka punya kisah cinta tersendiri.

Kisah lelaki Superman satu

Isterinya terpaksa menerima hakikat, kakinya perlu dipotong kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dalam keadaan gembira punya nikmat sepasang kaki yang sempurna untuk berjalan meskipun perlahan, salah satu perlu berpisah dari tubuh.

Isteri yang sudah lanjut usia tidak mampu menahan rasa sedihnya. Emosinya adalah emosi orang tua yang mudah terusik dan lama untuk ditenangkan kembali.

Maka lelaki Superman datang menyelamatkan hatinya daripada terus dilanda kesedihan.

Lelaki Superman ini berhenti bekerja. Ada sedikit wang simpanan ketika bekerja. Mereka tinggal di rumah pangsa PPRT. Ya, superhero tinggal di rumah khusus untuk orang miskin.

Setiap petang lelaki Superman ini menemani isterinya berjalan jauh ke luar kampung, isterinya mahu melihat matahari petang di tepi pantai yang semakin jauh ditambak. Lelaki Superman ini berjalan menolak kerusi roda isterinya.

Suami ini berjalan hampir 45 minit, menolak perlahan kerusi roda isterinya agar ia tidak bergoyang-goyang semata-mata mahu memenuhi permintaan isterinya.

Hari itu, jalan utama ke pantai sedang dibaik pulih. Sukar untuk pejalan kaki melalui tepi jalan yang sibuk. Tetapi tidak bagi lelaki Superman ini.

Beliau pergi menggunakan jalan lebih jauh, berjalan di tepi lebuhraya negeri yang sibuk dengan kenderaan yang gila kelajuan. Tetapi lelaki Superman ini adalah superhero, apa pun tidak mustahil asalkan isterinya dapat melihat matahari petang di tepi pantai Limbongan.

Kisah lelaki Superman dua

Lelaki Superman ini adalah jiran saya. Kali terakhir saya temui ialah beberapa hari sebelum beliau menemui ajal dilanggar bas. Tubuh lelaki Superman ini kecil, kata orang tubuh ‘halus kecil melidi’. Jika beliau berdiri di sebelah saya, tingginya pada paras dada sahaja.

Lelaki Superman ini juga sudah pencen. Keperkasaan beliau lebih terserlah pada usia tua. Sama ketika zaman muda, sehingga umur tuanya, di mana sahaja beliau keluar bersama isteri, genggaman tangan mereka sangat erat. Meskipun berjalan ke pondok bas dan menaiki bas buruk kampung, genggaman ini sama sahaja seperti genggaman tangan pengantin baru ketika diarak ke pelamin.

Tangan yang saling hangat tergenggam tidak ada lagi. Isterinya pergi dahulu meninggalkan beliau. Kemudian lelaki Superman ini juga menemui Tuhan dalam satu kemalangan. Bas kampung yang sedang berundur melanggar tubuh kecilnya dan bahagian bawah tubuhnya digilis tayar bas.

Boleh jadi mereka bakal menggenggam tangan semula di syurga.

Rumahnya kosong, setiap kali saya membuka tingkap, saya melihat rumah yang penuh warna-warni kehidupan lelaki Superman ini dan isterinya.

Kisah lelaki Superman tiga

Beliau adalah lelaki Superman yang miskin. Miskin kerana keluarga tidak bersetuju atas pilihan beliau memperisterikan gadis di kampung ini. Lelaki Superman ini sabar dengan karenah dan dugaan yang dihadapi. Sudahlah keluarga tidak suka, situasi belanja di rumah pun cukup-cukup makan sahaja.

Tidak ada sesiapa yang membantu di kalangan keluarga mereka. Di rumah mereka ada satu periuk kecil. Periuk itu digunakan secara bergilir, mula-mula digunakan memasak air dan kemudian digunakan untuk memasak.

Adakah orang yang masih hidup dengan hanya satu periuk kecil di rumah?

Ya, masih ada.

Lelaki Superman ini bersabar dan selalu menggembirakan hati isterinya. Padanya, kekayaan mereka adalah ketenangan yang mereka rasai dalam rumah itu. Lelaki Superman ini mula membuat pelbagai kerja dan berniaga.

Sedikit demi sedikit, dari satu periuk kecil, bertambah kelengkapan dapur. Kemudian segalanya lebih mencukupi. Melebih-lebih sehinggakan ada belanja untuk ahli keluarga yang pernah tidak menyukai mereka ketika zaman muda mereka dahulu.

Kisah lelaki Superman empat

Lelaki Superman ini punya wajah yang serius. Anak-anak dan isteri pun adakalanya gerun dengan bibir yang lurus tanpa emosi terpamer pada wajahnya. Tetapi, lelaki Superman ini tahu wajahnya yang serius itu mungkin meresahkan. Tetapi itulah wajah yang dikurniakan. Wajah itu yang menjadi tatapan isteri selama lebih 30 tahun.

Lelaki Superman ini kurang bercakap. Tetapi ada satu perkara yang menjadikan dia hero di hati isterinya. Walaupun lelaki Superman ini sudah makan di luar kerana urusan kerja, belanja kawan-kawan atau pun pergi minum petang, lelaki Superman ini pasti menjamah masakan yang disediakan oleh isterinya tanpa menolak. Lelaki Superman menghargai apa yang dilakukan oleh isterinya meskipun perut sudah sendat kerana belanja rakan.

Apa pun, inilah lelaki-lelaki Superman. Ada yang sudah tua dan ada yang sudah meninggal dunia. Lelaki-lelaki Superman ini mempamerkan sisi hero yang tersendiri.

Namun sisi hero mereka tidak akan kelihatan melainkan isteri menjadi bayangan Aishah yang menguatkan hati mereka.

Nota: Sebarang komen dan kritikan dialu-alukan.
——

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,080 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: