Bagaikan Aisyah | Sedihnya kad undangan perkahwinan

2

November 27, 2009 oleh zamrimohamad



Teruskan membaca entri di bawah

———-
Petikan buku Bagaikan Aisyah di Hati Rasulullah
Sekuel daripada buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Oleh Zamri Mohamad

Kad undangan perkahwinan sewajarnya mengundang rasa gembira. Tetapi adakalanya ayat yang ditulis mengundang kesedihan. Ia mengundang kesedihan apabila ada petikan ayat seperti ini.

Usah dambakan isteri sehebat Khadijah
Jika diri tidak semulia Rasulullah

Tidak perlu isteri secantik Balqis
Andai diri tidak sehebat Sulaiman

Usah mengharapkan suami setampan Yusuf
Jika kasih tidak setulus Zulaikha

Tidak perlu mencari suami seteguh Ibrahim
Jika diri tidak sekuat Hajar dan Sarah

Usah bermimpi mendapat lelaki seperti Ali
Jika diri tidak sehebat Fatimah

Kata-kata ini sudah menjadi warisan yang dibawa dari satu individu ke satu individu lain.

Diucapkan di hadapan orang ramai dalam ceramah dan bicara umum. Sudah dipanjangkan dalam laman-laman web berbahasa Melayu melewati sempadan negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia. Diperingatkan dalam tazkirah dan usrah sebagai selingan nasihat.

Tetapi kata-kata ini sudah secara diam merendahkan estim diri kita mahu memiliki yang terbaik.

Bukankah impian mulia seorang insan yang mahukan kebaikan datang daripada doa yang baik. Tidak ada ibu yang menolak permintaan anak agar didoakan kebaikan dunia dan akhirat kemudian ditolak dengan kata-kata, ”Sesungguhnya anak ini tidak layak mendapat kebaikan kerana banyak kekurangan dalam dirinya.”

Jelas nabi Muhammad mendorong manusia apabila mencipta kerangka yang positif agar manusia punya harapan untuk memenuhi kebaikan. Dalam prinsipal hidup bertuhan yang positif, kita mengingati asas berikut.

Direkodkan oleh Muslim, Abu Hurairah melaporkan bahawa nabi Muhammad berkata,

  • “Aku (Allah) adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaku terhadapku.”
  • “Aku bersamanya ketika dia mengingati diriku.”
  • “Apabila dia mengingati diriku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriku.
  • “Apabila dia mengingatiku dalam suatu kaum, nescaya aku akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka.
  • “Apabila dia mendekatiku dalam jarak sejengkal, nescaya aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta.
  • “Apabila dia mendekatiku sehasta, nescaya aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa.
  • “Apabila dia datang kepadaku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari.”

Betapa positifnya hidup bersangka baik kepada tuhan.

Perkembangan ilmu komunikasi interpersonal dan psikologi moden memudah cara usaha kita mendampingi kebaikan. Mencetuskan fenomena Aisyah dalam hidup berpasangan bermula melalui keinginan yang mendasar terus ke hati. Penuhi keinginan itu melalui langkah-langkah ilmu yang dijadikan pelengkap.

Tuhan menilai tidak pada hasil tetapi pada usaha kita menyempurnakan kebaikan. Dalam hal ini, adalah usaha kita menjadikan diri bagaikan Aishah dalam dunia cinta.

Tukar skrip kehidupan

Bermula dengan menukar skrip kegagalan kepada skrip kejayaan. Didapati pejaya menggunakan skrip kejayaan dan mempunyai estim diri tinggi dan positif. Mereka menukar skrip kegagalan menjadi skrip kejayaan seperti berikut.

Aku dambakan isteri sehebat Khadijah
Aku cuba mengikut akhlak semulia Rasulullah

Jika aku ingin isteri secantik Balqis
Aku pelajari dan hayati kehebatan Sulaiman

Jika aku mengharapkan suami setampan Yusuf
kasih setulus Zulaikha aku usahakan

Aku mencari suami seteguh Ibrahim
Lalu aku harus sekuat Hajar dan Sarah

Aku bermimpi mendapat lelaki seperti Ali
Maka aku mengikuti hebatnya Fatimah

Bagaimana suara hati kita selepas menukar skrip gagal menjadi skrip positif?

Dalam kajian didapati satu ciri pejaya adalah mempunyai lokus internal. Iaitu menerima tanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Berlaku pembaikan dari masa ke semasa melalui rasa tanggungjawab.

Ia berbeza apabila dibandingkan mereka yang mempunyai lokus eksternal. Individu seperti ini akan menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalan yang dihadapi.

Urus kuasa fitrah membina cinta

Siapa pun saudari, di mana saudari berdiri ketika ini dan ke mana saudari selepas ini, saudari berhak membina kebahagiaan, keabadian dan ketulusan cinta umpama Aisyah. Ia adalah permata yang menjadi pemanis dan penghias hayat anda.

Jika cinta itu adalah fitrah, maka cenderung saya berkata, fitrah itu diurus dengan enam perkara berikut.

  • F iaitu fikiran. Membersihkan minda dan berkembang menjelajahi dunia cinta
  • I iaitu inspirasi. Maksudnya mencari role model yang ideal dalam bercinta
  • T iaitu teknik. Pencinta tahu apakah teknik yang diaplikasikan dalam membina cinta.
  • R iaitu respons. Pencinta mengenal pasti maklum balas bagi pembaikan dan refleksi diri
  • A iaitu aplikasi. Pencinta belajar dan mengamalkan ilmu yang dipelajari
  • H iaitu hamba. Pencinta membina cinta sesama manusia dan menjadi hamba yang mencintai Allah.

Nota: Sebarang komen dan kritikan dialu-alukan.
——

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

2 thoughts on “Bagaikan Aisyah | Sedihnya kad undangan perkahwinan

  1. Puan Ainon Mohd. berkata:

    Tuan Zamri,Saya kekal ingat kata-kata KH Zainuddin, pendakwah terkenal dari Sumatera, yang dalam suatu program di TV3, beliau berkata bahawa banyak pendakwah apabila bercakap mereka meletakkan diri mereka pada posisi malaikat, manakala pada waktu yang sama mereka meletakkan posisi orang yang didakwahi pada posisi manusia yang serba rendah, serba berdosa…..

  2. oya sayang berkata:

    Saya setuju sangat selepas skrip kehidupan telah ditukar kan…Itulah sebenar-benarnya yg patut kite ikuti sesuai dengan arus kehidupan sekarang …

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,186 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: