Surat: Dahsyatnya Karya Fantasi Melayu Ini

Tinggalkan komen

Disember 22, 2009 oleh aliman


Assalamualaikum Puan Ainon,

Puan Ainon, anggaplah email ini sebagai luahan kegembiraan saya kerana dipertemukan dengan Pendeta Gua Khayalan terbitan syarikat puan. Saya baru sahaja menamatkan pembacaan novel fantasi Pendeta Gua Khayalan karya Masdalifadzlie M Saaid.

Untuk pengetahuan puan, ini adalah kali keempat saya menghabiskan pembacaan novel ini. Ya, saya tidak jemu dan saya pasti, saya akan mengulangi pembacaan novel ini dari semasa ke semasa.

Mengapa? Ada beberapa faktor yang membuatkan saya tidak bosan membacanya, walaupun sudah tahu jalan cerita pada pembacaan kedua dan seterusnya.

Faktor utama adalah susunan plot pada setiap bab. Penulis sangat pandai menarik perhatian pembaca dengan menggantungkan cerita pada setiap bahagian akhir bab. Ini membuatkan pembaca tertanya-tanya dan timbul rasa geram untuk mengetahui kesudahannya, menyebabkan muka surat seterusnya diselak tanpa henti. Strategi menulis seperti ini adalah penting untuk menghindarkan rasa bosan kepada pembaca.

Kedua, keindahan lenggok bahasa yang digunakan begitu mengagumkan. Dalam pemerhatian saya, selain Faisal Tehrani dan Ahmad Patria Abdullah, tidak ramai penulis Melayu generasi baru yang berkebolehan seperti saudara Masdalifadzlie M Saaid.

Kita seringkali mendengar ungkapan ‘bahasa itu indah’, namun kebanyakan novel-novel Melayu di pasaran sekarang gagal menonjolkan keindahan yang ada pada bahasa kita.

Sudah lama saya menanti sebuah novel yang dikarang dengan bunga bahasa yang disusun cantik, dan syukur Alhamdulillah, saya ditemukan dengan Pendeta Gua Khayalan. Permainan bahasa penulis walaupun berbunga dan berlenggok, tidak sukar untuk saya fahami bahkan menyenangkan saya menyelami keindahan bahasa Melayu. Novel ini berupaya mendidik anak-anak kita mencintai dan menghargai bahasa ibunda mereka.

Gaya penceritaan dalam novel ini adalah sesuatu yang unik, seolah-olah buku itu sendiri yang bercerita kepada pembaca. Di barat, gaya penceritaan seperti ini telah pun dilakukan oleh Lemony Snicket dalam karyanya, A Series of Unfortunate Events yang telah pun difilemkan.

Sewaktu membaca Pendeta Gua Khayalan, saya seolah-olah bukan membaca, tetapi sedang mendengar cerita yang diceritakan oleh pencerita di dalam novel ini. Saya dapat rasakan, pencerita itu benar-benar berinteraksi dengan saya. Dan hal itu membuatkan saya terjerumus masuk ke dalam dunia Indera Wangsa seawal bab yang pertama lagi.

Novel ini juga menguji imaginasi saya. Pada awalnya, saya membayangkan kehidupan masyarakat nusantara pada kurun ke 15, namun apabila penulis menerangkan Indera Wangsa mengalami iklim empat musim, saya mula mengubah persepsi imaginasi. Mana mungkin pada musim sejuk mereka hanya mengenakan pakaian kapas yang nipis? Daya imaginasi saya juga tercabar apabila membayangkan magis-magis yang dilontarkan oleh watak-watak pendeta.

Saya mendapati penulis benar-benar menstrukturkan pemilihan nama watak dan tempat. Penulis tidak takut menggunakan perkataan Sanskrit dalam pemilihan nama, malah penggunaan tersebut menambah kegemilangan nama yang dipilih.

Watak perempuan misalnya, dimulakan dengan nama bunga yang melambangkan kecantikan dan kelembutan, diikuti oleh kata sifat. Contohnya, Cempaka Suri dan Anggrik Pagi. Bagi nama-nama tempat pula, perkataan puri digunakan bagi melambangkan tempat tinggi seperti gunung dan banjaran, Merapuri dan Tujupuri sebagai contoh. Perkataan pura pula menunjukkan pulau seperti Kepulauan Nilapura.

Saya juga mengesan wujud pendarjatan dalam dialog antara watak berdarjat rendah dengan watak berdarjat tinggi. Sebagai contoh, semua dialog yang diucapkan oleh Lang Surya (watak berdarjat rendah) membahasakan diri sebagai ‘daku’ dan merujuk ibunya (watak berdarjat tinggi) sebagai ‘dikau’, menunjukkan rasa hormat seorang yang berdarjat rendah kepada yang berdarjat tinggi. Begitu juga dalam dialog antara Rimau Seru (anak murid) dengan Singa Tama (guru).

Sebaliknya, dialog yang diucapkan oleh watak berdarjat tinggi kepada watak berdarjat rendah menggunakan ‘aku’ dan ‘kau’, menunjukkan merekalah yang sewajarnya dihormati. Jelas sekali penulis ingin memperlihatkan kehalusan dan kesopanan tatabicara dalam masyarakat di Indera Wangsa.

Penulis menerusi si pencerita dalam novel ini banyak memberi kata-kata dan dialog-dialog berbentuk nasihat, juga ada yang berbentuk motivasi. Ketika watak utama, Lang Surya ditimpa musibah, kata-kata nasihat dan motivasi banyak ditulis dan penyampaiannya berupaya meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Kebanyakan cerita yang bagus mempunyai watak utama yang sering ditimpa dugaan dan tidak patah semangat kerananya, bahkan menjadi lebih bersemangat untuk bangkit kembali.

Drama-drama Jepun telah lama menerapkan nilai ini dalam cerita mereka, dan kesannya amat besar kepada bangsa mereka. Hari ini kita dapat lihat, bangsa Jepun adalah bangsa yang pantang menyerah kalah. Mereka sentiasa menjadikan kata-kata perangsang dan motivasi sebagai azimat untuk melepaskan diri daripada sengsara dan seterusnya berjaya dalam hidup.

Faktor terakhir yang dapat saya kesan adalah penerapan nilai-nilai Islam dalam cerita ini. Sememangnya di pasaran semakin menimbun novel-novel Islami, terutamanya terbitan PTS. Tidak dinafikan Pendeta Gua Khayalan bukanlah naskah yang mengangkat isu-isu Islamik dalam penceritaan, bahkan tiada perkataan ‘Allah’ di dalamnya, tetapi nilai-nilai Islamik itu tetap ada.

Apa yang mengagumkan, sebelum membaca novel ini, saya tidak pernah bertemu dengan novel (waima novel Islami sekali pun) yang dimulakan dengan ucapan salam kepada pembaca diikuti terjemahan potongan ayat daripada surah al-Fatihah (surah pembukaan), dan diakhiri dengan terjemahan surah al-‘Asr (surah penutup) diikuti dengan salam kepada pembaca. Indah bukan?

Saya mengharapkan agar lebih ramai bakat penulisan seperti saudara Masdalifadzlie M Saaid dapat dicungkil dan digilap oleh PTS selepas ini. Saya juga ingin merakamkan pujian buat PTS yang berani menerbitkan novel-novel fiksyen sains dan fantasi.

Sebelum ini, saya sering mengayakan penulis-penulis fiksyen sains dan fantasi dari barat. Sekarang tidak lagi, kerana saya punya pilihan karya anak bangsa yang setaraf dengan penulis-penulis barat. Wassalam.

Amirul Hadi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,080 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: