Kesan pertemuan 90 minit Baca@LRT dan Bookxcess

Tinggalkan komen

Februari 11, 2010 oleh zamrimohamad


Pintu hadapan Bookxcess di tingkat empat Amcorp Mall
Cik Puan Winnie, staf paling lama berkhidmat di Bookxcess
Rakan-rakan Baca@LRT yang dihormati dan sentiasa di hati,

Baca@LRT gelombang kedua bertema sastera memberi kesan positif kepada orang ramai khususnya mereka yang terlibat dalam dunia buku secara langsung.

Kali ini kami membawakan kepada rakan-rakan pendukung Baca@LRT perkara penting yang dapat dicapai dalam pertemuan penting sejarah usaha kita bersama ini.

Seperti biasa, atas bantuan rakan-rakan dalam Baca@LRT yang menyebarkan maklumat gelombang kedua Baca@LRT, kami juga melakukan usaha yang sama melalui Facebook. Sehinggalah kami melayari Facebook Bookxcess.

Kami amat gembira dan berbesar hati atas usaha sukarela kedai buku BookXcess menyiarkan catatan berita Baca@LRT dalam Berita Harian ke dalam laman Facebook mereka.

Kepada tuan dan puan yang baru mengenali dan mengetahui nama kedai buku BookXcess, izinkan kami bercerita mengenai latar belakang kedai buku ini.

Kedai buku BookXcess mula dibuka di Amcorp Mall pada tahun 2007. Pada awalnya mereka menyewa ruang kedai yang kecil. Fokus mereka adalah menjual majalah luar negara dalam pelbagai kategori pada harga murah bersama-sama seleksi buku luar negara.

Tidak lama kemudian, mereka menyewa sebuah ruang lebih besar sehingga tahun 2010.

Apa yang menarik mengenai falsafah perniagaan BookXcess?

Dalam pertemuan 90 minit bersama tuan Andrew dan isterinya, puan Jacqueline, perkara paling konsisten yang mereka usahakan sejak tiga tahun lalu adalah merendahkan harga buku, tujuan perniagaan ini adalah meramaikan jumlah pembaca tempatan.

Noktah.

Mereka percaya harga buku yang rendah dapat meningkatkan kadar pembacaan buku-buku berkualiti.

Noktah.

Buku ini adalah edisi kulit keras, tetapi buku baru ini berharga Rm25.00

Jangan terkejut jika anda menemui buku yang sama berkulit keras berharga 70 ringgit, dijual pada harga 24.90, buku berharga RM50.00 dijual pada harga RM19.90 meskipun di kedai buku lain ia dalam kategori bestseller dan dijual pada harga setinggi itu. Ianya buku baru.

Di BookXcess sebaliknya.

Itulah falsafah perniagaan mereka yang terpampang jelas pada plastik bungkusan, “Read More for Less.”

Antara perkhidmatan kedai buku ini ialah mereka menyediakan perkhidmatan membalut buku untuk tujuan hadiah secara percuma. Meskipun buku itu berharga lima ringgit. Malah kad dan reben disediakan percuma pada buku itu.

Sekali lagi, ia adalah percuma semata-mata mahu melihat orang membaca.

Menurut Jacqueline, “Membaca mesti menjadi sesuatu yang menyeronokan. Bagi yang sudah biasa membaca, mereka suka berkongsi. Bagi yang jarang membaca, mendapat buku dalam bentuk hadiah yang cantik pasti mengubah persepsi mereka. Kami di BookXcess membantu memudahkan pembaca menyediakan perkhidmatan membalut buku sebagai hadiah agar lebih ramai suka menerima dan membaca buku.”

Andrew, suami kepada pengurus kedai ini berkata pernah satu ketika satu kumpulan pekerja lelaki datang beramai-ramai membeli buku sebagai hadiah daripada syarikat untuk semua pekerja.

———————

Kedai buku ini pernah menganjurkan jualan murah (bukan jualan lelong) Big Bad Wolf di Amcorp Mall. Harga buku yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai bukunya yang sememangnya sangat murah berbanding kedai buku berangkai lain.

Tujuan Big Bad Wolf adalah memberi peluang mereka yang mempunyai kuasa wang yang sederhana mendapatkan buku yang berkualiti.

Big Bad Wolf menukarkan persepsi orang yang tidak membaca menjadi pembaca tegar.

Dalam salah satu testimonial yang diterima penganjur, seorang abang menjadi pembaca tegar selepas mengikut adiknya ke pesta buku ini.

Disebabkan harga buku yang murah, abangnya membeli beberapa buah buku. Menurut adiknya yang menghubungi penganjur, abangnya kini gemar membaca dan membeli buku secara berkala.

Itulah penangan Big Bad Wolf anjuran kedai buku Bookxcess

———————

Para pekerja di Bookxcess merdeka dari segi kreativiti. Ini dapat dilihat daripada hadiah penanda buku yang dibuat sendiri oleh pekerjanya.

Beliau menghasilkan penanda buku sebagai hadiah kepada sejumlah buku pada harga tertentu.

Inilah keseronokan yang beliau perolehi hasil daripada berkongsi sesuatu yang disukainya.

Buat tuan dan puan, kedai Bookxcess ketika ini sedang menyediakan sesuatu yang istimewa kepada kita semua pada 20 Februari kepada peminat buku yang hadir pada 20 Februari nanti.

——————-

Ketika saya menulis entri ini, pekerja itu sedang membuat satu persatu penanda buku yang dibuat daripada manik-manik hiasan untuk dihadiahkan kepada semua penyokong Baca@LRT yang datang ke kedai buku itu setibanya kita di LRT Taman Jaya.

Ia diberikan percuma kepada penyokong Baca@LRT.

Ketika mana saya menulis entri ini, seorang pekerja di Bookxcess sedang menyediakan hiasan selamat datang menyambut kedatangan kita dari Baca@LRT ke Bookxcess.

Bilakah kali terakhir kita disambut ke kedai buku?

Ketika saya menulis entri ini, seorang pekerja sedang menghasilkan kupon berlogo Baca@LRT untuk diedarkan bersama borang keahlian percuma kepada penyokong Baca@LRT pada hari itu.

Biasanya borang itu bernilai pembelian RM100++ tetapi diberikan percuma sebagai sokongan pada pembaca tegar dan peminat buku yang mengikuti Baca@LRT.

——————-

Pasangan suami isteri ini membuka Bookxcess bermula sebagai sebuah kedai buku kecil dan berpuas hati dengan kegembiraan orang ramai dapat membeli buku pada harga yang murah.

Perasaan gembira itu dikongsi dengan memberi kepada mereka yang menghargai dunia buku dan percaya dunia esok lebih baik kerana mereka yang berada dalam Baca@LRT bersama-sama melakukan sesuatu untuk itu.

Kata Andrew, “Hanya orang yang menghargai dunia buku dan percaya apa yang mereka buat ini untuk masa depan lebih baik bersedia memberi masa cuti mereka bersama Baca@LRT. Kerana waktu mereka itu bukan percuma, mereka datang kerana mereka benar-benar percaya.”

——————-

Kami di Baca@LRT mengucapkan terima kasih kepada Bookxcess yang menjadi kedai buku pertama yang menghubungi kami dan bertanya apakah yang dapat dibantu dalam Baca@LRT.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Bookxcess yang menghadiahkan penanda buku buatan tangan dan borang keahlian percuma bernilai pembelian RM100++ kepada penyokong Baca@LRT.

Ini bermakna penyokong Baca@LRT dapat menjadi ahli tanpa perlu berbelanja lebih RM100++ untuk mendapatkan keahlian.

Borang sah diisi pada hari itu sahaja.

——————-

Andrew dan Jacqueline sempat berkongsi impian mereka kepada kami, “Usaha kamu ini adalah untuk menggembirakan orang lain, kamu akan dibantu tuhan. Kami juga ada impian. Satu hari nanti kami akan mempunyai bangunan sendiri yang menjual buku, majalah dan menganjurkan kelas-kelas masyarakat secara percuma. Ketika itu lebih ramai boleh menyumbang melalui skil mereka. Kami bukan kedai buku ketika itu tetapi pusat aktiviti ilmu.”

Itulah Bookxcess yang konsisten dengan impian meningkatkan jumlah pembaca secara konsisten menurunkan harga buku sepanjang ia beroperasi, dari sebuah kedai kecil sehingga kini.

“Pada 20 Februari 2010, para penyokong Baca@LRT datanglah ke kedai buku kami di Amcorp Mall bagi mendapatkan hadiah penanda buku itu dan keahlian percuma. Tidak perlu membuat apa-apa pembelian, ” kata Andrew kepada wakil Baca@LRT dalam pertemuan 90 minit.

———————–

Malah Andrew dan isterinya percaya kedai buku rangkaian lain yang mempunyai rangkaian outlet besar di seluruh negara seperti Popular dan MPH akan mendukung usaha baik ini.

Bookxcess sebagai sebuah kedai buku kecil mengakui apa yang mereka lakukan ini tidak seberapa dan tidak dapat menandingi rangkaian kedai buku seperti MPH dan Popular apabila Baca@LRT disokong mereka. Bookxcess percaya gerakan Baca@LRT akan disambut oleh kedai-kedai buku rangkaian ini.

“Tetapi kami mahu menjadi sebahagian sejarah kamu yang bersama-sama dalam Baca@LRT mengikut kemampuan kami,” kata Andrew.

——————-

Sekali lagi mereka menawarkan apa bentuk bantuan bagi merancakkan gerakan Baca@LRT pada bila-bila masa. Ketika ini melalui web, blog dan Facebook, kakitangan mereka sedang menyebarkan informasi Baca@LRT.

Malah mereka menawarkan bantuan menghubungi dan menyebarkan maklumat kepada 4000 ahli berdaftar dan 4000 tidak berdaftar (yang hanya memberi emel) untuk turun ke Baca@LRT pada 20 Februari 2010.

Kami menangguhkan bantuan sebaran informasi pada 8000 ahli Bookxcess untuk hadir pada 20 Februari ini.

Pada ketika ini tim Baca@LRT hanya akan memfokuskan pada mereka yang akan turun dan mengesahkan kehadiran melalui http://bit.ly/lrtfebruari agar suasana membaca sebagai suatu yang seronok, santai dan selesa dapat diwujudkan.

Tawaran Bookxcess melibatkan 8000 ahlinya kita tangguhkan dalam satu aktiviti mega lain.

Mungkin ini yang dikata, “Orang yang cinta buku tahu betapa seronoknya buku. Mereka tidak sabar memberitahu.”

——————–

Nota kepada mereka yang akan hadir ke gerakan Baca@LRT pada 20 Februari ini.

Bagi mereka yang sah mahu hadir pada 20 Februari, mohon diisi borang dengan mengklik di sini http://bit.ly/lrtfebruari , ia bagi memudahkan kami mengenalpasti jumlah sebenar yang hadir dan jumlah penanda buku buatan tangan yang mahu disediakan oleh Bookxcess.

Klik di sini http://bit.ly/lrtfebruari

Pada masa akan datang saya akan berkongsi wajah pemilik kedai buku Bookxcess milik suami-isteri ini. Wajah yang menyokong usaha kita semua. Menjadikan esok hari membaca buku sebagai satu gaya hidup di mana-mana.

ZAMRI MOHAMAD
Bahagian Bahasa Melayu
Penyelaras Komunikasi Baca@LRT

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Jumlah Pelawat

  • 356,066 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan

%d bloggers like this: