Isu etika kewartawanan

23

Mac 22, 2007 oleh aliman


Soalan dari pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) saudari Yu Lit Ling 

Pandangan tuan mengenai isu etika kewartawanan

Etika kewartawanan sering berhadapan dengan situasi tarik tali antara unsur komersialisme dan tanggungjawab sosial. Berita sensasi adalah pelaris bagi akhbar dn majalah. Wartawan dan editor sendiri berhadapan dengan dilema dalam memastikan peranan akhbar sebagai pembina masyarakat tidak terkorban dengan tuntutan kapitalisme. Akhbar dan majalah perlu dijual dan menjana keuntungan. Jika tidak berlaku demikian, maka para pemegang saham dan pengiklan bakal mengucapkn selamat tinggal dengan penerbit. Ia memberi kesan berantai kepada keseluruhan organisasi.

      Berhadapan dengan keadaan ini menjadikan wartawan perlu membuat pertimbangan bijak dan bekerja secara kreatif dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Konsep show don’t tell dalam bidang kewartawanan menjadi medan eksperimen para wartawan untuk memaksimakan keupayaan menyampaikan mesej secara berkesan.

      Pandangan popular mengatakan jika wartawan tidak memenuhi kehendak pembaca, maka akhbar dan majalah bakal berhadapan dengan kegagalan dari sudut jualan dan persembahan produk kepada pembaca. Sangat berbahaya bagi wartawan yang terlalu bersandarkan kepada pandangan ini.

      Menjadi wartawan bukan sahaja menjadi pencatat peristiwa tetapi mereka perlu mencipta peristiwa. Proses ini berlaku melalui penyaluran mesej yang betul dalam fikiran pembaca. Kualiti sesebuah penulisan tidak hidup sendiri. Ia perlu bergabung dengan kemahiran-kemahiran individu lain melibatkan grafik, reka letak, pemasaran, gaya persembahan dan proses pujukan pelanggan. Sinergi ini akan menjadikan satu produk kelihatan hebat dan menarik pelanggan.

      Apabila kes perbicaraan yang melibatkan kematian seorang gadis akibat seks bebas bersama beberapa orang lelaki dilaporkan secara bersiri di akhbar, ia menjadi pencetus minta kepada pembaca untuk mengetahui kisah sebaliknya. Gaya bahasa yang membentuk imaginasi pembaca menjadikan ia bukan seperti laporan berita tetapi sudah kelihatan seperti kisah porno yang ditapis agar sesuai dari sudut gaya bahasanya. Perkara ini didebatkan dalam sidang Parlimen dan persoalan sama ada keperluan berita seperti ini didedahkan sebegitu rupa masih berpanjangan. Soalan saya, etika mana yang menjadi sumber rujukan untuk membenarkan berita seperti ini keluar dalam akhbar?

      Etika kewartawanan tempatan terbentuk dengan konsep berita yang diperkenalkan dan diajar kepada mereka. Wartawan diajar mencari berita yang unik dan luar biasa. Melaporkan dalam konteks tempatan mesti dikembangkan melalui budaya dan aturan masyarakat setempat.

      Kita mengambil konsep berita dari Barat tetapi tidak bermakna ia harus seratus peratus mengikut acuan Barat. Keadaan paling jelas apabila wujud penipuan atas nama demokrasi ketika melaporkan berita pencerobohan Iraq oleh Amerika Syarikat. Nilai etika apakah yang diambil sehinggakan penipuan dibenarkan dalam setiap laporan. Apabila dibongkar ia seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku dan bukan perkara besar apabila penipuan dalam berita disebarkan.

      Ketika saya mengikuti program In Person With…., saya bertanya kepada panel Datuk Manja Ismail yang merupakan editorial Berita Harian. Soalnya, di mana kredibiliti wartawan dan akhbar apabila melaporkan seratus peratus dari sumber agensi berita antarabangsa.

      Apa yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa menggunakan perkataan yang berat sebelah menggambarkan Palestin sebagai pemberontak dan pembuat kacau. Israel dilihat sebagai mangsa kekejaman batu dan bom koktail buatan sendiri Palestin. Kerana itu Israel perlu melawan semula dengan pelbaai senjata di udara dan darat menentang kekejaman Palestin.

      Sangat lucu apabila kita melihat agensi berita antarabansa melaporkan Israel sebagai mangsa dan Palestin sebagai pemangsa. Secara logiknya, Israel menceroboh tanah air rakyat Palestin, tidak membenarkan rakyat Palestin menunaikan solat di masjid Aqsa dan mengadakan sekatan serta menyebabkan ekonomi dan pendidikan warga Palestin jatuh dari nilai sepatutnya. Itukah ciri-ciri Israel yang digambarkan sebagai mangsa oleh media antarabangsa?

      Datuk Ahmad Talib dalam respon memberitahu pembinaan etika kewartawanan adalah satu perjuangan jangka panjang dan memerlukan beberapa generasi wartawan yang konsisten. Ia tidak berlaku semalaman. Perlu ada pembinaan prinsip diri dalam diri wartawan untuk mempertahankan integriti dalam profesion ini. Dalam konteks Malaysia, sudah ada perubahan kecil tetapi memberi impak yang besar dalam memberi kefahaman masyarakat.

      Sedikit demi sedikit para wartawan telah memberi definisi baru dalam melaporkan berita. Jika di Amerika, para tenteranya yang dihantar secara membuat tuli ke Iraq dipanggil penyelamat dan hero oleh media mereka.

      Di Malaysia, memahami betapa besarnya pengkhianatan terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, media kita menterjemah istilah penyelamat dan hero kepada penceroboh.

      Keberanian mentafsir semula dan melaporkan berita seperti ini kepada massa memerlukan keberanian yang bukan kecil. Etika kewartawan yang meminta wartawan melaporkan secara adil dan telus berdasarkan fakta bukan sentimen menjadi kekuatan bagi mengubah wajah berita yang sengaja disolek dengan penipuan.

      Bekas Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Sulaiman yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 40 tahun mengatakan ‘Etika Kewartawanan’ tidak wujud di Malaysia dalam erti kata tiada kanun seragam khusus yang mengawal dan mengurus perjalanan profesion kewartawanan atau badan tertentu yang bertanggungjawab mengawasi pematuhan kepada kanun berkenaan, seperti di sesetengah negara, terutama negara maju. Secara umumnya, etika kewartawanan bergerak atas beberapa peraturan kecil seperti, mengutamakan kebenaran, keadilan, kebebasan dan sikap tidak memihak dalam pemberitaan.

      Wartawan tidak boleh menjadi hakim dalam segala hal kepada orang lain. Lagak wartawan samalah seperi peguam. Berikan segala fakta yang benar dan biarkan pembaca sebagai juruadilnya.

      Cadangan penubuhan Majlis Kewartawanan Malaysia atau Malaysian Press Council sehingga kini masih belum bertemu titik noktahnya. Bagi membuka jalan agar kod etika kewartawanan dibuat secara rasmi dan dipatuhi setiap pengamal media serta dipantau Majlis Kewartawanan Malaysia mempunyai kelebihan dari sudut itu.

      Setiap pengamal media mempunyai interpretasi kod etika kewartawan yang berbeza. Mungkin apa yang diamalkan dalam sebuah agensi berita dilihat sebagai tidak beretika bagi agensi berita lain. Interprestasi yang berbeza ini menjadikan ia saling bertentangan.

      Saya ingin memetik semula teks ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya pada tahun 1984 ketika Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawan anjuran Institut Akhbar Malaysia. Beliau menyebutkan di Eropah pembunuh ditawarkan beribu pound untuk mendapat ceritanya. Di Amerika cerita rekaan disiarkan sebagai ‘fact’ untuk menarik minat pembaca. Cerita lucah dan seks dilaporkan tanpa segan-segan. Rahsia negara didedah sehingga musuh dapat mengetahui semua kelemahan. Sesiapa yang berkuasa dijadikan sasaran berita skandal sehingga ianya jatuh. Dan penggantinya juga akan mengalami nasib yang sama.

      Dari petikan ini saya ajukan kembali soalan asas bagaimana etika kewartawan dapat membina personaliti wartawan yang faham dan tahu serta sedar akan kesan catatan kepada masyarakat. Etika kewartawanan dari sudut Islam mempunyai kerangka yang jelas dan nilai ukur timbang yang sangat mudah difahami. Melalui Quran dan Sunnah yang menjadi peraturan umum dalam penyampaian maklumat.

      Pengamal kewartawanan Islam harus menyedari teori kewartawanan dan pendekatan mencari dan menyebarkan berita telah disimpulkan dalam salah satu ayat Quran.

      Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang yang benar- benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.sendiri. Jika ia (orang yang dianiaya) kaya ataupun miskin maka Allah lebih tahu keperluan kedua- duanya. maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi maka sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala yang kamu kerjakan. (Surah al-Nisa’ : 135)

      ” …. janganlah kamu menyamarkan kebenaran dengan kebatilan serta kamu sembunyikan kebenaran walhal kamu tahu (hakikat sebenarnya)” (Surah al-Baqarah: 42)

      Lebih 1400 tahun peraturan asas ini menjadi kayu ukur dalam kewartawanan Islam malah di Malaysia, peraturan asas ini terus dikembangkan dan dapat dilihat melalui Tatasusila Kewartawanan Malaysia 1989 dan Kod Perilaku Profesional Anggota Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) yang menyenaraikan apa perlu dan tidak dilakukan sebagai wartawan.

      Saya petik dari buku Jeniri Amir, Belajar Menjadi Wartawan terbitan PTS Profesional Sdn Bhd. Tatasusila Kewartawanan Malaysia yang berikut:

  • Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar.

  • Dalam melaksanakan tugas ini, wartawan menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.

  • Wartawan perlu menggunakan cara yang wajar bagi mendapatkan berita, gambar ataupun filem dan dokumen.

  • Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar dan tidak tepat perlu diperbetul.

  • Wartawan perlu menghormati kerahsiaan sumber berita.

  • Wartawan perlu berbudi pekerti semasa menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan atau tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

  • Wartawan perlu menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.

  • Wartawan perlu memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.

23 thoughts on “Isu etika kewartawanan

  1. psittacula berkata:

    artikel yang memang saya cari-cari. terima kasih

  2. ed berkata:

    artikel yang memenuhi kriteria perbincangan melibatkan kuasa, konflik dan media di malaysia..tankz..benar2 membantu pemahaman saya..

  3. Tny berkata:

    Artikel ini sangat membantu saya dalam usaha menyiapkan assignment Basic Journalism.

    Terima Kasih.

  4. hanaflores berkata:

    artikel yg d cari2..syukran utk ulasan yg baik.

  5. arif berkata:

    Sebagai seorang yang bergelar wartawan, saya mengakui bahawa artikel ini bagus & dapat dijadikan panduan umum. Tahniah kepada penulis!

  6. rahem berkata:

    penerangan yg baik. terima kasih kpd penulis

  7. amir nst berkata:

    yer, inilah point utk wartawan mcm aku..tp malangnya berapa orang wartawan yg telus dan adil?????

  8. Linn berkata:

    satu penulisan yg bermaklumat dan bagus…mudah utk pemahaman org ramai..syabas!!!

  9. alin upm berkata:

    thanz kepada penulis. artikel yang berguna dan bermaklumat.

  10. nazir uum berkata:

    wartawan adalah satu bidang yang mencabar, walaubagaimanapun ia menjadi seronok jika kita dapat mendalaminya….

  11. aisyahmaria berkata:

    lebih lagi maklumat tentang wartawan

  12. aisyahmaria berkata:

    saya sebagai komunikasi memerlukan lebih banyak maklumat

  13. nur farhana berkata:

    adakah etika kewartawanan dan undang-undang mempengaruhi wartawan untuk memberikan maklumkat kepada masyarakat….jelaskan ini esgmnt saya….terima kasih

  14. nur farhana berkata:

    apa pun artikel ini juga dapat membantu…..

  15. nieyl berkata:

    bgus,ulasan yg sngat mnarik..thanx..

  16. ain berkata:

    great!!ulasan yg menarik.isu etika kewartawanan memang selalu menjadi isu yg diperdebatkan.Pertembungan diantara etika dan undang2 di mana ketelusan harus dipertahankan dan pasti menjadi dilema dlm diri wartawan/editor.Yg pasti setiap institusi kewartawanan berdiri dan bergerak selari dengan “agenda” yg telah ditetapkan.Kerja sebagai wartawan/editor nampak mudah, tp hanya org2 yg terlibat dlm dunia kewartawanan tahu cabarannya.

  17. ady89 berkata:

    Apakah maksud propaganda dan jenis-jenisnya

  18. fify berkata:

    satu artikel yang sangat bagus dan harus di baca oleh wartawan dan juga bakal wartawan

  19. geetha berkata:

    thank you for this wonderful article,ia sangat membantu bagi saya dalam menyiapkan tugasan serta lebih mengenali tentang bidang kewartawanan.Berapa ramai wartawan di Malaysia mengamalkan etika kewartawanan?Apakah faktor-faktor menyebabkan pelbagai isu timbul mengenai etika kewartawanan??? kenapa journalists tidak mematuhi sepenuhnya etika kewartawanan??

  20. Zamri Mohamad berkata:

    Mohon agar artikel ini tidak disalin bulat-bulat ke dalam tugasan saudari tanpa memberi kredit pada penulis asal. Sebarang penciplakan dikategorikan sebagai jenayah di bawah undang-undang Hakcipta 1987 harap maklum.

  21. ella berkata:

    good article..:)

  22. mas berkata:

    thanks 4 writer…
    artikel ni jd panduan tuk sy menghdpi temuduga as a wartawan…
    wish me luck….
    wartawan ni satu medan tuk kita berdakwah tau…

  23. NANAMY berkata:

    MMG MEMBANTU SAYA UNTUK MENYIAPKAN ASSIGMENT SYA….TERIMA KASIH KEPADA PENULIS…SAYA SEBAGAI PELAJAR AMAT MENGAGUMINYA…

Tinggalkan komen

Jumlah Pelawat

  • 385,135 pembaca

Klik Seminar Kami

Buku tulisan saya

Kategori

Koleksi Penulisan